36 kematian akibat Covid-19 semalam, Selangor catat 12 kes

Lapan negeri dan Wilayah Persekutuan tidak merekodkan kes kematian akibat Covid-19 dalam tempoh 24 jam semalam, menurut Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi laman sesawangnya, Covidnow, hari ini.

Negeri dan Wilayah Persekutuan yang tidak mencatat kes kematian semalam ialah Johor, Melaka, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Labuan dan Putrajaya.

Bagaimanapun, dalam tempoh itu sebanyak 36 kematian baharu direkodkan, termasuk dua yang meninggal dunia sebelum sempat menerima rawatan di hospital atau kes BID, menjadikan kumulatif sebanyak 31,428 kes, termasuk 6,340 kes BID.

Daripada kematian baharu yang direkodkan di lapan negeri lain semalam, Selangor mencatat jumlah tertinggi dengan 12 pesakit meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19, termasuk dua kes BID.

Jumlah itu menjadikan kumulatif kematian di Selangor meningkat kepada 9,941 kes, termasuk 2,107 kes BID, lapor KKM.

Pada masa sama, Selangor mencatat 784,716 kumulatif kes positif, dengan 763,218 pesakit telah sembuh, dan 11,557 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu, 10,464 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 278 ditempatkan di PKRC; 759 dimasukkan ke hospital; dan 56 dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 37 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sementara itu, bagi negeri-negeri lain, Kuala Lumpur merekodkan lima kematian, diikuti masing-masing empat di Kelantan serta Perak; masing-masing tiga di Kedah, Negeri Sembilan serta Pahang; dan dua kes di Terengganu.

Sehingga semalam, negara merekodkan 2,750,516 kumulatif kes positif, namun 2,677,406 pesakit telah sembuh, manakala 41,682 kes lagi masih aktif.

Menurut KKM, daripada jumlah itu seramai 34,781 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 3,065 ditempatkan di PKRC; 3,548 dimasukkan ke hospital; dan 288 pesakit lagi dirawat di ICU dengan 162 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Dari segi penggunaan kemudahan di hospital, 36.4 peratus alat bantuan pernafasan digunakan; katil ICU (54.4 peratus); katil hospital (63.3 peratus); dan PKRC 18.3 peratus.

BERITA BERKAIT
POPULAR