3,573 kes hari ini penutup tirai Covid-19 sepanjang 2021

Menutup tirai tahun 2021, – setelah wabak Covid-19 mula melanda negara awal Mac 2020 – Malaysia hari ini merekodkan penurunan jangkitan harian di seluruh negara dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi.

Jangkitan baharu Covid-19 di seluruh negara bagi tempoh itu turun 424 kes, tatkala kerajaan mula melaksanakan prosedur pemakaian peranti pengesanan digital kepada jemaah umrah yang baru pulang ke Malaysia semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dalam tempoh itu sebanyak 3,573 kes dilaporkan, berbanding 3,997 kes yang direkodkan bagi tempoh sama semalam.

Beliau berkata jumlah itu menjadikan kumulatif positif sebanyak 2,758,086 kes dengan sehingga semalam 2,681,390 pesakit telah sembuh, dan 31,462 kes kematian.

KKM juga melaporkan sehingga semalam 41,661 kes masih aktif, termasuk 34,522 pesakit dikatakan menjalani kuarantin di rumah; 3,326 ditempatkan di PKRC; 3,532 dimasukkan ke hospital; dan 281 pesakit dirawat di ICU, dengan 155 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Semalam, Kementerian Kesihatan (KKM) mula memakaikan peranti pengesanan digital kepada semua jemaah yang pulang setelah mengerjakan umrah di Arab Saudi.

Sepasukan 40 kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) membuka 20 kaunter di bangunan Satelit C25 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi membantu proses pemakaian peranti digital itu.

Sementara itu, Dr Noor Hisham memaklumkan Kementerian Kesihatan (KKM) menjangkakan kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt mengikut kes seharian semalam, untuk seluruh negara adalah pada nilai 0.98, naik lagi berbanding jangkaan 0.95 pada Rabu.

Dua negeri merekodkan nilai Rt melebihi 1.00 iaitu Kelantan 1.05, naik daripada 1.01 pada Rabu dan Terengganu 1.00, manakala negeri-negeri lain antara 0.72 dan 0.98.

Nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan virus iaitu berapa ramai individu boleh dijangkiti oleh satu kes positif. Semakin rendah nilai itu, semakin kurang kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif.

Menurut pakar kesihatan, nilai Rt berada pada tahap membimbangkan apabila ia melepasi nilai 1.00 dengan lebih ramai individu berpotensi untuk dijangkiti.

BERITA BERKAIT
POPULAR