34,939 kematian terkumpul akibat Covid-19 sejak Mac 2020

Jumlah kematian akibat komplikasi Covid-19 dalam tempoh 24 jam semalam (30 Mac 2022) turun kepada 33 kes berbanding 64 pada Selasa, lapor Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini.

Angka itu menjadikan kumulatif kematian sejak 17 Mac 2020 hingga semalam meningkat kepada 34,939 kes, termasuk 7,373 kes pesakit Covid-19 meninggal dunia di luar fasiliti kesihatan atau ’brought in death’ (BID).

Semalam sahaja seramai 11 pesakit yang disahkan dijangkiti Covid-19 dikategorikan sebagai kes BID, menurut data CovidNOW yang dikemas kini tengah malam tadi.

Untuk rekod, dalam tempoh seminggu lalu sebanyak 146 kes kematian melibatkan pesakit berusia 80 tahun dan ke atas; 112 kes (70-79 tahun); 89 kes (60-69 tahun); 36 kes (50-59 tahun); 25 kes (40-49 tahun); 11 kes (30-39 tahun); tiga kes (12-17 tahun); dua kes (18-29 tahun); dan satu kes (0-4 tahun).

Data juga menunjukkan Johor dan Kedah masing-masing mencatat enam kes kematian akibat Covid-19 semalam, menjadikan kumulatif meningkat kepada 4,423 dan 2,561 kes.

Sehingga semalam, Johor mencatat 371,515 kumulatif positif, dengan 357,447 pesakit telah sembuh dan 9,645 kes masih aktif, termasuk 9,060 pesakit menjalani kuarantin di rumah.

Sementara Kedah pula mencatat kumulatif positif sebanyak 291,307 kes, dengan 278,786 pesakit telah pulih, dan 9,960 kes masih aktif, termasuk 9,613 pesakit menjalani kuarantin di rumah.

Bagi negeri-negeri lain, Perak dan Kuala Lumpur masing-masing mencatat empat kematian diikuti, masing-masing tiga di Pahang serta Sarawak, masing-masing dua kes di Pulau Pinang serta Selangor dan satu kes di Kelantan, Negeri Sembilan serta Sabah.

Tiada kes kematian akibat Covid-19 dilaporkan di Melaka, Perlis, Terengganu, Labuan dan Putrajaya, semalam.

Pecahan kes berkaitan Covid-19 di setiap negeri sehingga 30 Mac 2022.

BERITA BERKAIT
POPULAR