
Pecahan pemberian vaksin mengikut negeri sehingga 9 Jun 2022. - Sumber Covidnow KKM
Sebanyak 5,050 lagi dos vaksin Covid-19 diberikan kepada kanak-kanak berusia lima hingga di bawah 12 tahun semalam (Khamis, 9 Jun 2022), lapor Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini.
Daripada jumlah itu, 4,740 diberikan sebagai suntikan dos kedua, manakala hanya 310 saja dos pertama.
Sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) dilancarkan pada 3 Februari lalu, lebih 2.94 juta dos vaksin telah diberikan kepada kanak-kanak.
Seramai 1,214,836 atau 34.2 peratus kanak-kanak melengkap dua dos suntikan, manakala 1,733,862 atau 48.8 peratus lagi menerima dos pertama.
Dalam pada itu, lebih 5.92 juta dos vaksin Covid-19 turut diberikan kepada remaja berusia 12 hingga 17 tahun sejak September tahun lalu hingga semalam.
Daripada jumlah itu, 2,913,251 atau 93.6 peratus telah lengkap divaksinasi, dan 3,007,096 atau 96.6 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.
Sejak PICK diperkenalkan pada 24 Februari tahun lalu hingga semalam pula, 16,113,404 atau 68.5 peratus daripada populasi dewasa telah menerima suntikan dos penggalak.
Seramai 22,986,857 atau 97.7 peratus lagi menerima dua dos, sementara 23,263,947 atau 98.9 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.
Keseluruhannya dalam tempoh itu, sebanyak 71,018,677 dos vaksin telah diberikan kepada populasi Malaysia, termasuk rakyat asing.