3,386 kes baharu Covid-19 hari pertama 2022

Hari pertama 2022 menyaksikan jumlah jangkitan Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi turun 187 kes berbanding semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dalam tempoh itu, sebanyak 3,386 jangkitan baharu dilaporkan, berbanding 3,573 kes yang direkodkan dalam tempoh sama semalam.

Menurutnya jumlah itu menjadikan kumulatif kes positif sejak wabak Covid-19 menular di negara ini pada awal 2020 lalu sebanyak 2,761,472 kes, dengan sehingga semalam seramai 2,685,378 pesakit disahkan sembuh, 31,487 kematian dilaporkan, dan 41,221 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu, 34,069 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 3,368 ditempatkan di PKRC; 3,515 dimasukkan ke hospital; dan 269 pesakit dirawat di ICU, dengan 163 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sebanyak 217 kluster daripada keseluruhan 6,128 kluster Covid-19 yang dikesan sejak awal 2020 lalu juga dilaporkan masih aktif.

Sementara itu Dr Noor Hisham memaklumkan jangkaan kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt mengikut kes harian semalam bagi seluruh negara adalah pada nilai Rt 0.98.

Hanya Kelantan yang mencatat Rt 1.02, manakala negeri-negeri lain di antara 0.75 dan 0.97.

Nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan virus iaitu berapa ramai individu boleh dijangkiti oleh satu kes positif. Semakin rendah nilai itu, semakin kurang kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif.

Menurut pakar kesihatan, nilai Rt berada pada tahap membimbangkan apabila ia melepasi nilai 1.00 dengan lebih ramai individu berpotensi untuk dijangkiti.

BERITA BERKAIT
POPULAR