
Data sehingga 3 Januari 2023.
Jumlah jangkitan baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam semalam (Selasa, 3 Januari 2023) turun lagi kepada 333 kes, berbanding 360 yang dicatat pada Isnin, menurut data laman sesawang GitHub Kementerian Kesihatan (KKM) yang dikemas kini tengah malam tadi.
Bagaimanapun, KKM tidak memberi pecahan jumlah kes semalam yang melibatkan varian baharu Omicron BA.5.2 dan BF.7. Kedua-dua varian Covid-19 itu yang mendominasi 80 peratus daripada jangkitan di China, telah dikesan di Malaysia sehingga 31 Disember 2022 lalu.
Daripada jumlah jangkitan baharu semalam, 209 kes melibatkan individu yang telah menerima suntikan vaksin dos penggalak, diikuti 77 (individu yang lengkap divaksinasi); dua kes (individu belum lengkap divaksinasi); dan 45 kes (individu tidak divaksinasi).
Jangkitan semalam, turut melibatkan 26 kanak-kanak, meningkat berbanding 24 yang dicatatkan pada Isnin.
Jumlah terbaharu itu menjadikan kumulatif positif sejak 25 Januari 2020 sebanyak 5,027,790 dengan 4,979,168 pesakit telah sembuh, termasuk 376 yang pulih semalam.
Sementara itu, KKM juga memaklumkan sehingga semalam 11,763 kes masih aktif, turun lagi berbanding 11,807 yang dilaporkan pada Isnin, manakala 11,109 pesakit masih menjalani kuarantin di rumah (11,197 pada Isnin). Tiada pesakit yang ditempatkan di PKRC.
Menurut KKM, seramai 622 pesakit menerima rawatan di hospital, neik semula berbanding 580 yang direkodkan pada Isnin.
Seramai 32 pesakit dimasukkan ke unit rawatan rapi (30 pada Isnin), dengan 20 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan (16 pada Isnin).
Berikut adalah pecahan kes baharu semalam mengikut negeri dan wilayah, serta kumulatif kes positif:
- Selangor – 82 (1,545,404);
- Kuala Lumpur – 58 (466,566);
- Sabah – 17 (406,589);
- Johor – 18 (397,833);
- Sarawak – 34 (323,684);
- Kedah – 27 (318,149);
- Pulau Pinang – 17 (307,016);
- Kelantan – 14 (259,882);
- Perak – 20 (238,540);
- Negeri Sembilan – 12 (230,600);
- Pahang – 5 (182,405);
- Melaka – 18 (144,316);
- Terengganu – 5 (132,754);
- Putrajaya – 5 (32,171);
- Labuan – 0 (22,917); dan
- Perlis – 1 (18,962).
Sementara itu, seorang pesakit meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19 di Pahang semalam. Tiada kes kematian di luar fasiliti kesihatan atau ‘brought in death’ (BID).
Jumlah itu menjadikan kumulatif kematian sejak 17 Mac 2020 meningkat kepada 36,859 mangsa, termasuk 7,854 kes BID.