33 kematian, kes aktif turun

Seramai 33 lagi pesakit Covid-19 meninggal dunia dalam tempoh 24 jam semalam, turun berbanding 48 kes yang dilapor pada Selasa, menjadikan keseluruhannya 30,989 kes sejak awal tahun lalu.

Daripada jumlah itu, Terengganu mencatat kes kematian tertinggi sebanyak tujuh kes menjadikan keseluruhannya seramai 662 pesakit Covid-19 meninggal dunia di negeri itu.

Menurut data laman sesawang Covidnow kendalian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang dikemas jam 7.40 pagi tadi, sehingga semalam, Terengganu mencatat 79,307 kes positif dengan 76,475 daripadanya telah sembuh.

Negeri itu turut merekodkan 2,191 kes aktif, termasuk 1,487 pesakit yang menjalani kuarantin di rumah; 413 ditempatkan di PKRC; 269 dimasukkan ke hospital; dan 22 dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan 20 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sejak Februari lalu hingga semalam, seramai 751,291 atau 92.9 peratus individu dewasa di Terengganu telah lengkap divaksinasi, manakala 94.2 peratus atau 762,007 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos, manakala 76,209 individu lagi menerima dos penggalak.

Dalam tempoh itu juga, 90.2 peratus atau 124,537 remaja berusia 12 hingga 17 tahun di Terengganu telah lengkap divaksinasi, sementara 92.9 peratus atau 128,327 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Tidak ada kluster aktif yang dilaporkan di negeri itu sehingga semalam.

Bagi negeri-negeri lain, Kelantan dan Selangor masing-masing merekodkan lima kematian; diikuti masing-masing empat di Perak dan Kuala Lumpur; serta masing-masing tiga di Johor dan Kedah; dan Pahang (dua kematian).

Tiada kes kematian dilaporkan di Labuan, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis, Pulau Pinang, Putrajaya, Sabah, Sarawak

Sementara itu, jumlah kes aktif di seluruh negara turun lagi kepada 56,989 kes dengan 47,049 pesakit kini menjalani kuarantin di rumah setelah disahkan dijangkiti Covid-19.

Seramai 5,279 pesakit lagi ditempatkan di PKRC; 4,277 dimasukkan ke hospital; dan 384 pesakit dirawat di ICU dengan 213 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Keseluruhannya sejak awal tahun lalu hingga semalam, negara merekodkan 2,696,948 kes aktif dengan 2,615,162 pesakit telah sembuh.

Sebanyak 246 daripada 6,056 kluster yang dikesan sehingga semalam, masih aktif, termasuk tujuh yang dilaporkan di enam negeri semalam.

Enam daripada tujuh kluster Covid-19 yang dikesan itu membabitkan tempat kerja, manakala satu lagi penularan dalam komuniti.

BERITA BERKAIT
POPULAR