321 lagi kes import Covid-19

Sebanyak 321 kes import adalah antara 3,684 jangkitan baharu Covid-19 yang direkodkan di seluruh negara dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, menurut statistik Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini.

Sejak awal 2020 hingga hari ini, sebanyak 12,403 kes import positif Covid-19 telah dikesan, kebanyakannya melibatkan rakyat tempatan yang pulang dari luar negara yang dijangkiti pelbagai varian, termasuk Omicron dan Delta.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah kes import hari ini, seramai 233 melibatkan rakyat tempatan dan 88 kes lagi warganegara asing yang positif Covid-19.

Difahamkan, penjujukan genom penuh dilakukan beberapa institusi, termasuk universiti, ke atas semua sampel daripada kes import itu bagi mengesan jenis varian yang menjangkiti mereka.

Selain itu, Malaysia masih membenarkan semua pesakit kes import itu menjalani kuarantin di rumah, termasuk individu yang dijangkiti varian paling cepat menular – Omicron.

Pada masa sama bermula hari ini, kerajaan membenarkan pengembara yang pernah dijangkiti Covid-19 dan telah lengkap vaksinasi tidak perlu menjalani kuarantin wajib setibanya mereka di Malaysia, namun masih perlu melakukan ujian pengesanan wabak menggunakan RTK antigen (Ag) di pintu masuk antarabangsa (PMA).

Pengembara yang tidak divaksin atau belum menerima vaksinasi lengkap juga dibenarkan masuk, tetapi perlu menjalani kuarantin wajib tujuh hari di stesen kuarantin setibanya di negara ini serta melakukan ujian pengesanan Covid-19.

Sementara itu, menurut Dr Noor Hisham sebanyak 3,363 jangkitan daripada jumlah kes hari ini adalah penularan tempatan yang turut melibatkan 80 rakyat asing.

Beliau turut memaklumkan dalam tempoh 24 jam itu seramai 3,292 pesakit telah sembuh – lebih rendah daripada kes positif harian.

Ini menjadikan kumulatif pesakit pulih meningkat kepada 2,726,891 kes atau 97.4 peratus daripada jumlah kumulatif kes positif sebanyak 2,798,917 kes.

“Sehingga kini seramai 192 pesakit masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan 91 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

“Daripada 3,684 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, 34 kes atau 0.9 peratus adalah kategori 3, 4, dan 5; dan 3,650 kes (99.1 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.

“Dalam tempoh 24 jam itu juga sebanyak lapan lagi kluster baharu Civid-19 dikesan. Ini menjadikan keseluruhannya 6,192 kluster dengan 6,014 telah ditamatkan dan 178 lagi masih aktif,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR