32,070 kes baharu semalam, dua hari berturut-turut pecah rekod jangkitan

Jangkitan Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam semalam, melonjak lagi memecah rekod jangkitan – dua hari berturut-turut – tatkala Kelantan menyertai tujuh negeri lain mencatat kumulatif positif melebihi 200,000 kes.

Dalam tempoh 24 jam itu, 32,070 jangkitan baharu dilaporkan, tertinggi sejak Covid-19 melanda negara pada awal 2020 lalu, berbanding rekod dicatatkan pada Rabu sebanyak 31,199 kes.

Dengan jumlah kes aktif yang terus meningkat kepada 286,521 kes, sistem kesihatan negara boleh berada pada tahap kritikal sekiranya 273,799 pesakit tidak diarah menjalani kuarantin di rumah, dan pada masa sama peraturan baharu ‘membebaskan’ kontak rapat daripada menjalani pengasingan diri.

Berdasarkan laman sesawang kendalian Kementerian Kesihatan (KKM), CovidNOW, yang dikemas kini pagi ini, kumulatif positif kini meningkat kepada 3,337,227 kes – ketiga tertinggi dalam kalangan negara-negara ASEAN selepas Indonesia dan Filipina.

Daripada jumlah kumulatif positif itu, seramai 3,018,172 pesakit telah sembuh dan 32,534 kematian dicatat, meningkat setelah 46 pesakit meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19 semalam.

Walaupun, kes melonjak melebihi 32,000 semalam, hanya enam negeri merekodkan peningkatan jangkitan harian, berbanding 10 negeri dan Wilayah Persekutuan pada Rabu.

Lonjakan tertinggi direkodkan Sabah – daripada 3,971 kes pada Rabu, meningkat kepada 4,892 kes semalam – menjadikan kumulatif positif di negeri itu sebanyak 326,515 kes, dengan 271,775 pesakit telah sembuh, 51,803 kes aktif dan 2,937 kematian.

Daripada jumlah kes aktif itu seramai 49,491 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 1,028 ditempatkan di PKRC; 1,222 dimasukkan ke hospital; dan 62 dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan 34 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sehingga semalam, 2,401,018 atau 62.6 peratus populasi keseluruhan di Sabah telah lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19.

Sementara, 2,496,723 atau 65.1 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos, dan 655,534 atau 24.1 peratus daripada individu dewasa menerima dos penggalak.

Sebanyak 42 kluster masih aktif di Sabah, dengan 34 melibatkan kluster pendidikan, tempat kerja (empat); komuniti (dua); dan masing-masing satu kluster pusat tahanan serta kumpulan berisiko tinggi.

Johor yang akan berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Mac depan pula mencatat 2,699 kes baharu semalam, berbanding 2,281 kes pada Rabu, naik dua hari berturut-turut.

Sementara kes di Pahang turut meningkat daripada 1,560 pada Rabu kepada 1,647 semalam, diikuti Perak (1,552 kes baharu, 1,222 Rabu); Melaka (888 kes baharu, 600 Rabu); dan Terengganu (852 kes baharu, 773 pada Rabu).

Selangor, walaupun kes menurun sedikit, namun kekal mencatat jumlah tertinggi jangkitan harian sebanyak 7,458 kes.

Sementara itu, jumlah kumulatif positif di Kelantan meningkat kepada 209,140 setelah 1,746 jangkitan baharu dilaporkan semalam.

Keseluruhannya, bagi seluruh negara, seramai 273,799 pesakit kini menjalani kuarantin di rumah; 4,356 ditempatkan di PKRC; 8,039 dimasukkan ke hospital; dan 327 pesakit dirawat di ICU, dengan 201 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Pecahan kes Covid-19 mengikut negeri-negeri pada 24 Februari 2022.

BERITA BERKAIT
POPULAR