32 kluster baharu Covid-19 dikesan, majoriti di tempat kerja

Jumlah harian pesakit Covid-19 yang dilaporkan sembuh semakin meningkat apabila 24,813 pesakit lagi disahkan bebas daripada virus pembunuh itu dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata angka itu menjadikan kumulatif kes sembuh sejak awal tahun lalu meningkat kepada lebih 1.74 juta, berbanding hampir dua juta kes positif.

Beliau turut memaklumkan seramai 1,312 pesakit masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 967 disahkan dijangkiti Covid-19, sementara 345 kes lagi masih dikategorikan sebagai disyaki, ada kemungkinan dan dalam siasatan berkaitan virus itu.

“Seramai 698 pesakit memerlukan bantuan alat pernafasan. Daripada jumlah itu 444 disahkan dijangkiti Covid-19, manakala 254 kes lagi masih dikategorikan sebagai disyaki, ada kemungkinan dan dalam siasatan berkaitan virus itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya dalam tempoh itu juga sebanyak 32 kluster baharu dikesan di seluruh negara menjadikan keseluruhannya 5,153 kluster, di mana 3,709 telah ditamatkan, manakala 1,444 kluster lagi masih aktif.

Berdasarkan data dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini, 16 daripada jumlah kluster itu membabitkan jangkitan di tempat kerja, komuniti (14 kluster) dan masing-masing satu kluster kumpulan berisiko tinggi di Johor yang melibatkan 35 kes, dan pendidikan tinggi di Negeri Sembilan (23 kes).

Sementara itu, lapan daripada kluster tempat kerja dikesan di Johor melibatkan 166 jangkitan, Perak (tiga, 105 jangkitan), Kedah (dua, 119 jangkitan) dan masing-masing satu di Pulau Pinang (37 jangkitan), Sabah (55 jangkitan) dan Selangor (49 jangkitan).

Sarawak pula merekodkan enam kluster komuniti membabitkan 259 jangkitan; Kelantan empat kluster (66 jangkitan); Pahang dua kluster (28 jangkitan); dan masing-masing satu di Melaka (29 jangkitan), dan Perak (30 jangkitan).

Mengenai kadar kebolehjangkitan Dr Noor Hisham berkata berdasarkan berdasarkan nilai RT hari ini Malaysia mencatatkan 0.98, tetapi Sarawak merekodkan nilai tertinggi iaitu RT 1.18.

Terdahulu beliau memaklumkan sebanyak 16,073 jangkitan baharu dilaporkan dalam tempoh 24 jam itu yang turut membabitkan 1,713 rakyat asing.

Daripada jumlah kes harian hari ini, 233 atau 1.5 peratus adalah pesakit kategori 3, 4, dan 5, manakala 15,840 pesakit lagi adalah kategori 1 dan 2.

BERITA BERKAIT
POPULAR