32 kematian semalam, 9 kes BID

Jumlah kematian akibat Covid-19 dalam tempoh 24 jam semalam (Rabu, 6 April) turun daripada 33 kes pada Selasa kepada 32 kes semalam, menurut data Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini.

Sembilan daripada kes kematian semalam melibatkan pesakit Covid-19 yang meninggal dunia di luar fasiliti kesihatan dan dibawa ke hospital untuk bedah siasat atau dikategorikan kes ‘brought in death’ (BID).

Namun, tiada maklumat sama ada sesetengah kes BID itu turut melibatkan 158,343 pesakit yang menjalani kuarantin di rumah akibat dijangkiti Covid-19 tahap rendah atau tidak memerlukan rawatan intensif.

Jumlah terbaharu itu menjadikan kumulatif kematian sejak awal 2020 lalu meningkat kepada 35,192 kes, termasuk 7,434 kes BID, menurut data CovidNOW yang dikemas kini tengah malam tadi.

Berdasarkan data itu, Selangor dan Johor masing-masing mencatat tujuh kematian, menjadikan kumulatif kedua-duanya meningkat kepada 10,566 kes dan 4,460 kes.

Sehingga semalam Johor mencatat 375,741 kumulatif positif, dengan 362,979 pesakit telah pulih, dan 8,302 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu, 7,909 pesakit yang menjalani kuarantin di rumah, 376 dimasukkan ke hospital, dan 17 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 14 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan

Tiada pesakit Covid-19 di Johor yang dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

Sehingga 5 April, seramai 3,067,590 atau 80.8 peratus populasi di Johor telah menerima dua dos vaksin Covid-19, 3,285,488 atau 86.5 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos, dan 2,092,824 atau 76.6 peratus individu dewasa menerima dos penggalak.

Bagi negeri-negeri lain, Perak mencatat lima kematian, diikuti Terengganu (empat); masing-masing tiga di Kedah serta Melaka; dan masing-masing satu di Negeri Sembilan, Perlis serta Kuala Lumpur.

Tiada kes kematian dilaporkan di Kelantan, Pahang, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Labuan dan Putrajaya, semalam.

BERITA BERKAIT
POPULAR