3,160 kes baharu, lima negeri catat peningkatan

Sebanyak 3,160 kes baharu Covid-19 dilaporkan di seluruh negara dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi turun berbanding 3,528 kes yang dicatat semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah terbaharu itu menjadikan kumulatif positif sejak awal tahun lalu hingga hari ini sebanyak 2,738,401 kes.

Menerusi statistik yang dikongsi beliau, lima negeri dan Wilayah Persekutuan merekodkan peningkatan kes harian dalam tempoh itu.

Jangkitan baharu di Johor meningkat kepada 416 kes berbanding 396 kes semalam, menjadikan kumulatif keseluruhan di negeri itu meningkat kepada 242,696 kes, dengan sehingga semalam seramai 232,428 pesakit sembuh dan 3,843 kematian.

Empat lagi negeri yang mencatat peningkatan kes hari ini ialah Kelantan sebanyak 391 kes berbanding 370 semalam; diikuti Putrajaya (29 kes baharu, 23 semalam); Sarawak (27 kes baharu, 19 semalam); dan Perlis (26 kes baharu, 20 semalam).

Mengikut rekod Kementerian Kesihatan (KKM) sehingga semalam seramai 2,657,074 pesakit telah sembuh, manakala 31,290 pesakit lagi meninggal dunia.

Sehingga hari ini, lima negeri kekal merekodkan kumulatif positif melebihi 200,000 dengan Selangor mencatat 781,838 kes; diikuti Sarawak (252,175 kes); Johor (242,696 kes); Sabah (239,482 kes); dan Kuala Lumpur (209,705 kes).

Sementara itu, kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt pada jangkaan berdasarkan kes seharian semalam untuk seluruh negara turun kepada Rt 0.89, berbanding 0.90 pada Khamis.

Berdasarkan statistik yang dikongsi beliau, hanya Terengganu yang merekodkan nilai Rt 1.00 manakala negeri-negeri lain antara 0.73 dan 0.95.

Untuk rekod, nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus iaitu berapa ramai individu boleh dijangkiti oleh satu kes positif. Semakin rendah nilai itu, semakin kurang kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif.

Menurut pakar kesihatan, nilai Rt berada pada tahap membimbangkan apabila ia melepasi nilai 1.0 dengan lebih ramai individu berpotensi untuk dijangkiti wabak berkenaan.

Dr Noor Hisham juga mengingatkan orang ramai mengenai kemungkinan varian Omicron kini telah berada dalam komuniti.

Orang ramai disarankan untuk mengambil dos penggalak, mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan dan mengamalkan TRIIS walau di mana pun berada, katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR