
Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengenal pasti 31 titik panas banjir kilat di ibu negara, kata Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim.
Menurutnya DBKL dan dan kementeriannya telah menyediakan beg pasir serta pam air untuk digunakan di kawasan yang dikenal pasti itu sekiranya hujan lebat dan air mula naik.
“Kita telah mengenal pasti 31 titik panas banjir kilat di Kuala Lumpur, dan Insya-Allah, kita telah meletakkan beg pasir dan pam air di kawasan panas ini.
“Saya juga telah menunjukkan perkara ini kepada Ahli Parlimen (MP) di Kuala Lumpur dan mereka berpuas hati,” katanya selepas majlis penyerahan kunci Residensi Sky Awani 3 SkyWorld Development Group di Setapak, hari ini.
Pada Jumaat, Shahidan meninjau kawasan berpotensi berlaku banjir kilat bersama beberapa MP, termasuk Teresa Kok (Seputeh); Fahmi Fadzil (Lembah Pantai); Datin Dr Tan Yee Kew (Wangsa Maju); P Prabakaran (Batu); dan Lim Lip Eng (Kepong).
Antara kawasan panas yang mereka lawati ialah di Jalan Ampang, Jalan Rahmat, Jalan Kasipilay dan Jalan Dutamas 2.
Dalam isu berasingan, Shahidan berkata pengambilan tanah Kampung Sungai Baru dalam peringkat akhir analisis dan kenyataan mengenai perkara itu akan dikeluarkan minggu depan.
“Kami kini berdepan masalah undang-undang. Kami mempunyai 328 pemilik rumah yang telah berpindah, dan 37 enggan berbuat demikian.
“Kita harus ingat jika projek ini dibatalkan, 328 pemilik perlu kembali ke rumah pangsa mereka yang usang. Kami sedang berusaha untuk memperhalusi perkara itu.”
Sebelum ini, Shahidan memberi jaminan bahawa pengambilan tanah di Kampung Sungai Baru, Kampung Baru, akan dilakukan secara adil dengan mengutamakan kepentingan tanah dan pemilik unit di flat PKNS.
Beliau juga berkata akan berunding dengan pemilik dan pemaju terbabit untuk mencapai persetujuan menang-menang.