31 pesakit Covid-19 meninggal, tujuh negeri sifar kematian semalam

Seramai 10 pesakit Covid-19 di Selangor meninggal dunia semalam, termasuk dua kes ‘brought in death’ (BID), lapor Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hari ini.

Jumlah itu menjadikan kumulatif kematian di negeri berkenaan meningkat kepada 9,859 kes, termasuk 2,093 kes BID. Selangor juga merekodkan jumlah kes positif tertinggi di negara ini sebanyak 768,523 kes, termasuk 1,591 kes import, dengan 741,654 pesakit telah sembuh.

Sehingga semalam, negeri itu merekodkan 17,010 kes aktif, dengan 14,979 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 1,016 ditempatkan di PKRC; 944 dimasukkan ke hospital; dan 71 dirawat di unit rawatan rapi (ICU), termasuk 51 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sehingga semalam juga, sebanyak 77 kluster masih aktif di Selangor dengan 46 daripadanya membabitkan tempat kerja; Pendidikan (19); komuniti (enam); kumpulan berisiko tinggi (lima); dan pusat tahanan (satu).

Dalam tempoh 24 jam semalam juga sebanyak 31 kematian baharu dilaporkan di sembilan negeri dan Wilayah Persekutuan, termasuk tujuh kes BID, menjadikan keseluruhannya 30,862 kematian dilaporkan sejak awal tahun lalu, termasuk 6,243 kes BID.

Bagi kes kematian di negeri lain, Sabah merekodkan tujuh kes; diikuti masing-masing empat di Perak dan Sarawak; Kuala Lumpur (dua); dan masing-masing satu di Kedah, Pahang, Pulau Pinang dan Terengganu.

Tujuh negeri – Johor, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis, Labuan dan Putrajaya – tidak mencatat kes kematian semalam, lapor KKM menerusi laman sesawang Covidnow.

Sehingga semalam, 10 negeri kekal merekodkan kes kematian melebihi 1,000 yang membabitkan Selangor seramai 9,859 kes; Johor (3,809); Sabah (2,740); Kuala Lumpur (2,633); Kedah (2,117); Pulau Pinang (1,683); Sarawak (1,609); Perak (1,306); Negeri Sembilan (1,291); dan Kelantan (1,197).

Sementara itu sebanyak 60,778 kes masih aktif di seluruh negara dengan 49,910 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 5,867 ditempatkan di PKRC; 4,605 dimasukkan ke hospital; dan 396 pesakit dirawat di ICU, termasuk 211 yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sejak kes pertama Covid-19 dilaporkan di negara ini awal tahun lalu hingga semalam, sebanyak 2,688,149 jangkitan positif dikesan, termasuk 6,117 kes import, dengan 2,596,509 pesakit telah sembuh.

BERITA BERKAIT
POPULAR