
Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022 menolak rayuan akhir bekas Presiden UMNO dan bekas Perdana Menteri Malaysia keenam yang dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta berkaitan kes SRC International.
Datuk Seri Najib Razak akan mengetahui sama ada beliau berjaya dalam semakan kehakiman untuk membatalkan sabitan dan hukumannya atas kesalahan rasuah SRC International bernilai RM42 juta.
Pasukan perundangannya telah dimaklumkan bahawa Mahkamah Persekutuan akan membuat keputusan sama ada berjaya atau tidak pada 31 Mac ini.
Perkara itu disahkan peguam Najib, Muhammad Farhan Muhammad Shafee yang dihubungi pihak media hari ini (13 Mac 2023).
Panel lima hakim dipengerusikan oleh Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli akan membuat keputusan itu setelah mendengar permohonan Najib.
Turut bersidang dalam panel itu ialah tiga Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Vernon Ong Kiat; Datuk Rhodzariah Bujang; Datuk Nordin Hassan; dan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais.
Sebelum ini, pada 28 Februari lalu, Abdul Rahman berkata panel hakim akan membuat keputusan mengenai permohonan ini tidak lewat daripada 31 Mac.
Najib sebelum ini, memohon semakan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022 yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mensabitkannya bersalah serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dalam kes rasuah membabitkan RM42 juta dana SRC
Pada 6 September tahun lepas, bekas Perdana Menteri itu memohon untuk semakan semula keputusan Mahkamah Persekutuan.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu memohon rayuan berkenaan didengar korum Mahkamah Persekutuan lain yang mengandungi tidak kurang daripada tujuh hakim Mahkamah Persekutuan atau yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
Beliau yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang, turut memohon hukuman ke atasnya itu ditangguhkan sementara menunggu pendengaran permohonan semakan berkenaan.
Bekas Presiden UMNO itu turut mencuba ikhtiar lain di luar badan kehakiman untuk membebaskan dirinya melalui petisyen pengampunan diraja serta petisyen kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atas penahanan sewenang-wenangnya.
Melalui permohonan semakan sekarang, Najib berpendapat terdapat konflik kepentingan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang menjatuhkan sabitan terhadap perbicaraan kes SRC International pada Julai 2020.
Hakim Nazlan telah dinaikkan pangkat dari Mahkamah Tinggi ke Mahkamah Rayuan.
Najib mendakwa, antara lain hakim Nazlan tahu Maybank Investment (entiti Maybank Group) dan Binafikir (entiti lain dari Maybank Group) telah menasihatkan syarikat pelaburan negara 1MDB berkaitan urusan penubuhan SRC International.
Najib mendakwa bahawa konflik kepentingan timbul akibat peranan Nazlan sebagai penasihat umum kepada Maybank pada ketika itu.
Pada mulanya anak syarikat 1MDB, SRC dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Incorporated (MOF Inc). 1MDB juga dimiliki sepenuhnya oleh MOF Inc.
Permohonan semakan Najib juga mensasarkan tiga keputusan lain oleh sidang hakim Mahkamah Persekutuan sebelumn ini.
Keputusan itu berkaitan penolakan Mahkamah Persekutuan untuk Najib mengemukakan bukti tambahan dalam mengukuhkan tuduhan terhadap Nazlan; menolak permohonan Najib untuk menangguhkan pendengaran rayuan; dan menafikan permohonannya untuk menggugurkan Tengku Maimun dalam mendengar rayuannya di Mahkamah Persekutuan atas dakwaan konflik kepentingan.