31 kematian baharu, 9 di Selangor

Sebanyak 31 lagi kes kematian akibat komplikasi Covid-19 direkodkan di 11 negeri dan Wilayah Persekutuan, dalam tempoh 24 jam semalam, menjadikan kumulatif sebanyak 31,591 pesakit meninggal sejak wabak itu melanda negara awal Februari 2020 lalu.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam laporan hari ini memaklumkan jumlah itu termasuk sembilan pesakit meninggal dunia sebelum menerima rawatan di hospital atau dikategorikan sebagai kes ’brought in death’ (BID).

Selangor merekodkan angka kematian tertinggi semalam dengan sembilan kes, termasuk satu kes BID, menjadikan keseluruhannya 9,978 kes. Jumlah itu termasuk 2,112 kes BID.

Selangor – negeri pertama menerima penularan Covid-19 yang berasal dari Wuhan, China – sehingga semalam merekodkan 789,337 kumulatif kes positif, dengan 769,151 pesakit disahkan sembuh, dan 10,208 kes masih aktif, turun berbanding 10,443 kes pada Isnin.

Daripada jumlah kes aktif di Selangor, 8,893 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 446 ditempatkan di PKRC; 838 dimasukkan ke hospital; dan 31 dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan 16 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sehingga semalam, lebih 11 juta dos vaksin telah diberikan di negeri itu sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilancarkan pada 24 Februari lalu.

Daripada jumlah itu, 94.3 peratus atau 4,768,890 individu lengkap divaksinasi, manakala 95.6 peratus atau 4,840,600 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Seramai 1,493,224 individu atau 22.8 peratus menerima suntikan dos penggalak.

Sebanyak 65 daripada 1,306 kluster Covid-19 yang dikesan di Selangor masih aktif, dengan majoriti daripadanya adalah berkaitan tempat kerja.

Sementara itu, tiga kes kematian masing-masing dilaporkan di Johor, Kedah, Kelantan, Perak dan Sabah; masing-masing dua di Pahang dan Pulau Pinang; serta masing-masing satu kes di Negeri Sembilan, Terengganu dan Kuala Lumpur.

Tiada kes kematian akibat komplikasi Covid-19 dilaporkan di Melaka, Perlis, Sarawak, Labuan dan Putrajaya.

Keseluruhannya, sehingga semalam negara merekodkan 2,769,886 kumulatif kes positif, dengan 2,698,613 pesakit telah sembuh, dan 39,682 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu, 32,421 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 3,522 ditempatkan di PKRC; 3,487 dimasukkan ke hospital; dan 252 pesakit dirawat di ICU, dengan 134 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

BERITA BERKAIT
POPULAR