31 kematian akibat Covid semalam tertinggi bulan ini, 182,965 kes aktif

Sebanyak 31 kes kematian akibat komplikasi Covid-19, termasuk 10 pesakit meninggal dunia sebelum sempat mendapat rawatan di hospital atau kes ‘brought in death’ (BID), dilaporkan dalam tempoh 24 jam semalam.

Jumlah kematian semalam adalah yang tertinggi dicatat bulan ini dan menyamai jumlah yang direkodkan pada 4 Januari 2022 lalu, yang juga sebanyak 31 kes.

Angka terbaharu itu menjadikan kumulatif kematian akibat Covid-19 sejak awal 2020 lalu hingga semalam meningkat kepada 32,180 kes, termasuk 6,514 kes BID.

Lapan negeri merekodkan kes kematian semalam dengan tertinggi dicatat Sabah sebanyak lapan kes, diikuti Selangor (tujuh); Johor (enam); Pulau Pinang (lima); Kedah (dua) dan masing-masing satu di Negeri Sembilan, Perak, serta Terengganu.

Sejak awal 2020 hingga semalam, Sabah merekodkan 2,864 kes kematian, 282,669 kumulatif kes positif, dan 33,208 kes aktif. Seramai 246,597 pesakit di negeri itu juga telah sembuh daripada jangkitan Covid-19.

Daripada jumlah kes aktif itu seramai 30,880 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 1,077 ditempatkan di PKRC; 1,210 dimasukkan ke hospital; dan 41 dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan 17 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sehingga semalam, Sabah juga merekodkan jumlah paling ramai pesakit dimasukkan ke hospital dan ditempatkan di PKRC berbanding negeri dan Wilayah Persekutuan lain.

Selangor yang berada di tempat kedua dalam jumlah kes kematian semalam sehingga kini mencatat kumulatif sebanyak 10,084 kes.

Negeri itu kini merekodkan 42,280 kes aktif, tertinggi berbanding negeri-negeri lain, dengan 40,665 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 460 ditempatkan di PKRC; 1,122 dimasukkan ke hospital; dan 33 dirawat di ICU, termasuk 21 pesakit yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Setakat ini tujuh negeri mencatat kes aktif melebihi 10,000 iaitu Selangor, Sabah, Johor, Kedah, Kelantan, Kuala Lumpur, dan Pulau Pinang.

Keseluruhannya negara merekodkan 3,083,683 kumulatif kes positif, dengan 2,868,538 pesakit telah sembuh, dan 182,965 kes aktif, meningkat 14,518 kes berbanding Isnin.

Daripada jumlah kes aktif itu seramai 170,635 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 5,517 ditempatkan di PKRC; 6,619 dimasukkan ke hospital; dan 194 dirawat di ICU, dengan 120 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

BERITA BERKAIT
POPULAR