30 kes kematian, lima BID

Seramai 30 lagi pesakit meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19 dalam tempoh 24 jam semalam (1 April 2022), termasuk lima daripadanya melibatkan kematian di luar fasiliti kesihatan atau kes ‘brought in death’ (BID).

Jumlah itu menjadikan kumulatif kematian sejak Mac 2020 hingga semalam meningkat kepada 35,013 kes, termasuk 7,386 kes BID, menurut laman sesawang CovidNOW, yang dikemas kini hari ini.

Bagaimanapun, tiada maklumat diberikan sama ada lima kes BID itu turut membabitkan kalangan 201,924 pesakit yang menjalani kuarantin di rumah kerana positif Covid-19 pada tahap rendah atau tidak memerlukan rawatan intensif.

Data CovidNOW juga menunjukkan Johor merekodkan lapan kematian akibat Covid-19 semalam, menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 4,437 kes – kedua tertinggi dalam kalangan 16 negeri dan Wilayah Persekutuan lain, selepas Selangor yang mencatat 10,531 kematian.

Johor kini mencatat kumulatif positif sebanyak 373,092 kes, dengan 358,176 pesakit telah pulih, dan 10,479 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu seramai 9,979 pesakit masih menjalani kuarantin di rumah; dua pesakit ditempatkan di PKRC; 479 dimasukkan ke hospital; dan 19 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 16 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Bagi negeri-negeri lain, Negeri Sembilan mencatat empat kes kematian, diikuti masing-masing tiga di Kedah serta Melaka; dan masing-masing dua di Perak, Perlis serta Sarawak.

Sementara Kelantan, Pahang, Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur serta Labuan, masing-masing mencatat satu kes kematian.

Tiada kes kematian akibat Covid-19 dicatat di Sabah, Terengganu serta Putrajaya.

BERITA BERKAIT
POPULAR