
Anggota bomba membantu memindahkan mangsa banjir di Johor semalam (24 Januari 2023).
Seramai 2,996 mangsa banjir daripada 854 keluarga di tiga negeri – Pahang, Johor dan Sabah – dipindah ke 33 pusat pemindahan sementara (PPS) setelah kawasan mereka dinaiki air, susulan hujan lebat berterusan.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam kenyataan jam 12 tengah malam tadi, memaklumkan pemindahan itu melibatkan enam daerah di tiga negeri berkenaan sejak semalam (24 Januari 2023).
Johor merekodkan jumlah mangsa tertinggi yang dipindahkan iaitu seramai 2,912 daripada 833 keluarga dari empat daerah, melibatkan 30 PPS, dengan trend meningkat.
Di Segamat seramai 1,392 mangsa daripada 393 keluarga dipindahkan ke 13 PPS; diikuti Kluang (785 mangsa, 223 keluarga, sembilan PPS); Kota Tinggi (471 mangsa, 120 keluarga, enam PPS); dan Mersing (264 mangsa, 97 keluarga dan dua PPS).
Di Pitas, Sabah pula seramai 77 mangsa banjir daripada 19 keluarga dipindahkan ke dua PPS yang dibuka, juga dengan trend meningkat.
Di Rompin, Pahang, seramai tujuh mangsa daripada dua keluarga dipindahkan ke sebuah PPS.
Sementara itu, menurut data Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sehingga tengah malam tadi, air di empat sungai di Johor dan satu di Pahang mencatat bacaan melebihi paras bahaya.
Sungai yang bacaan melebihi paras bahaya di Johor ialah:
- Sungai Muar di Muara Sungai Gemas (19.12 meter);
- Sungai Segamat di Segamat Kecil (37.90m/34.00m paras normal);
- Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang (15.27m/10.00m); dan
- Sungai Endau di Kampung Labong, Mersing (2.30m/0.50m).
Sementara itu, Sungai Pukin di Rompin, Pahang pula mencatat bacaan 45.01m berbanding 40.80m paras normal.