299 kes import baharu dikesan hari ini, 34 rakyat asing

Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan 299 lagi kes import positif Covid-19 dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menerusi kenyataan hari ini beliau berkata daripada jumlah itu 265 kes melibatkan warganegara Malaysia, manakala 34 kes lagi membabitkan rakyat asing.

Statistik laman sesawang Covidnow menunjukkan keseluruhannya sejak awal 2020 hingga hari ini negara mencatat 10,846 kes import Covid-19.

Sementara itu, katanya daripada 3,251 jangkitan baharu yang dilaporkan hari ini, 2,952 adalah penularan tempatan yang membabitkan 2,837 warganegara dan 115 rakyat asing.

Seramai 2,161 pesakit disahkan sembuh hari ini menjadikan kumulatif kes pulih sebanyak 2,711,900 kes atau 97.4 peratus daripada 2,783,331 kumulatif kes positif.

Dr Noor Hisham berkata sehingga kini seramai 243 pesakit masih dirawat di unit rawatan rapi, dengan 113 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

“Dua lagi kluster baharu dikesan hari ini menjadikan keseluruhannya 6,158 kluster dengan 5,982 telah ditamatkan dan 176 lagi masih aktif.

“Daripada 3,251 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, 58 kes atau 1.8 peratus adalah kategori 3, 4, dan 5; dan 3,193 kes (98.2 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2,” katanya.

Beliau juga memaklumkan, jumlah mangsa banjir yang positif Covid-19 meningkat kepada 466 kes apabila satu kes jangkitan baharu dikesan hari ini.

Jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di pusat pemindahan sementara pula kekal 15 pesakit serta satu kluster.

Sementara itu, Dr Noor Hisham Abdullah berkata kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian semalam untuk seluruh negara adalah pada nilai 0.96.

Nilai Rt tertinggi dicatat Labuan sebanyak 1.15, meningkat berbanding 1.10 semalam, apabila merekodkan 14 jangkitan baharu semalam dan 20 kes pada Khamis.

Nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan virus iaitu berapa ramai individu boleh dijangkiti oleh satu kes positif. Semakin rendah nilai itu, semakin kurang kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif.

Menurut pakar kesihatan, nilai Rt berada pada tahap membimbangkan apabila ia melepasi nilai 1.00 dengan lebih ramai individu berpotensi untuk dijangkiti.

Mengikut statistik yang dikongsi Dr Noor Hisham, empat negeri lagi mencatat nilai Rt melebihi 1.00 ialah Sabah sebanyak 1.06; Putrajaya (1.01) dan masing-masig 1.00 bagi Melaka dan Negeri Sembilan.

Negeri-Negeri lain berada pada nilai Rt 0.86 dan 0.99.

BERITA BERKAIT
POPULAR