
Pecahan kes Covid-19 mengikut negeri-negeri pada 28 April 2022.
Jangkitan Covid-19 dalam tempoh 24 jam semalam (Khamis, 28 April 2022) turun di bawah 3,000 apabila merekodkan 2,935 kes, berbanding 3,471 yang dicatat pada Rabu.
Jumlah terbaharu itu menjadikan kumulatif positif Covid-19 sejak Januari 2020 hingga semalam meningkat kepada 4,443,318 kes, dengan 4,354,006 pesakit telah sembuh.
Data laman sesawang CovidNOW yang dikemas kini tengah malam tadi menunjukkan dalam tempoh itu juga seramai 35,536 individu dijangkiti virus SARS-CoV-2 meninggal dunia, dan 53,776 kes masih aktif, termasuk 52,261 pesakit kini menjalani kuarantin di rumah.
Seramai 46 pesakit masih ditempatkan di PKRC; 1,385 dimasukkan ke hospital; dan 84 dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan 56 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.
Data laman Github Kementerian Kesihatan (KKM) pula menunjukkan daripada jumlah jangkitan harian semalam, seramai 1,907 melibatkan penerima dos penggalak vaksin Covid-19; 637 (menerima dua dos); 291 (tidak divaksinasi); dan 100 (belum lengkap vaksinasi).
Tujuh negeri dan Wilayah Persekutuan juga merekodkan peningkatan jangkitan dalam tempoh 24 jam semalam, dengan Kuala Lumpur mencatat 462 kes baharu, berbanding 429 pada Rabu.
Ini diikuti, Pulau Pinang dengan 224 kes baharu (188 Rabu); Perak (193 kes, 142 Rabu); Negeri Sembilan (193 kes, 120 Rabu); Pahang (74 kes, 48 Rabu); Putrajaya (56 kes, 37 Rabu); dan Terengganu (35 kes, 14 Rabu).
Sementara itu, 10 lagi pesakit meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19 semalam, termasuk satu kes kematian di luar fasiliti kesihatan atau ‘brought in death’ (BID).
Sejak Mac 2020 hingga semalam, jangkitan Covid-19 meragut nyawa 35,536 pesakit, termasuk 7,521 kes BID.
Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu masing-masing mencatat dua kematian semalam, manakala Johor, Kedah, Melaka dan Putrajaya masing-masing merekodkan satu kes.
Sehingga Rabu lalu, hampir 70.2 juta dos vaksin Vovid-19 telah diberikan kepada populasi Malaysia, termasuk rakyat asing.
Daripada jumlah itu, 26,642,291 atau 81.6 peratus telah menerima dua dos, manakala 27,743,589 atau 85.0 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.
Seramai 16,024,957 atau 68.1 peratus individu dewasa pula menerima suntikan dos penggalak.

Pecahan kes berkaitan Covid-19 di setiap negeri sehingga 28 April 2022.