
Data sehingga 21 Januari 2023.
Jangkitan harian Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam semalam (Sabtu, 21 Januari 2023) naik sedikit kepada 293 kes, berbanding 285 yang direkodkan pada Jumaat, lapor Kementerian Kesihatan (KKM).
Data laman sesawang KKM yang dikemas kini tengah malam tadi juga menunjukkan jangkitan semalam turut melibatkan 18 kanak-kanak, turun lagi berbanding 26 yang direkodkan pada Jumaat dan 28 (Khamis).
Ia membabitkan tujuh kes kanak-kanak berusia 0 hingga empat tahun, dan 11 kes lagi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun, lapor KKM.
Daripada jumlah jangkitan baharu semalam, 209 kes melibatkan individu yang telah menerima suntikan vaksin dos penggalak, diikuti 40 (individu yang lengkap divaksinasi); tiada kes melibatkan individu belum lengkap divaksinasi; dan 44 kes (individu tidak divaksinasi).
Jumlah terbaharu itu menjadikan kumulatif positif sejak 25 Januari 2020 sebanyak 5,034,521 dengan 4,987,269 pesakit telah sembuh, termasuk 326 yang pulih semalam.
KKM juga memaklumkan sehingga semalam 10,320 kes masih aktif, turun lagi berbanding 10,355 yang dicatat pada Jumaat.
Sementara, 9,942 pesakit kini masih menjalani kuarantin di rumah, turun berbanding 9,957 pada Jumaat. Tiada pesakit yang ditempatkan di PKRC.
Menurut KKM, jumlah pesakit yang menerima rawatan di hospital juga turun lagi kepada 366 kes berbanding 382 pada Jumaat dan 398 pada Khamis.
Seramai 12 pesakit dimasukkan ke unit rawatan rapi (16 pada Jumaat), dengan 10 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan (14 pada Jumaat).
Berikut adalah pecahan kes baharu semalam mengikut negeri dan wilayah, serta kumulatif kes positif:
- Selangor – 84 (1,547,622);
- Kuala Lumpur – 69 (467,701);
- Sabah – 5 (406,767);
- Johor – 15 (398,145);
- Sarawak – 15 (324,197);
- Kedah – 18 (318,472);
- Pulau Pinang – 28 (307,339);
- Kelantan – 2 (260,015);
- Perak – 13 (238,868);
- Negeri Sembilan – 12 (230,847);
- Pahang – 2 (182,582);
- Melaka – 19 (144,767);
- Terengganu – 4 (132,906);
- Putrajaya – 6 (32,356);
- Labuan – 1 (22,952); dan
- Perlis – 0 (18,985).
Sementara itu dua pesakit dilaporkan meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19 dalam tempoh 24 jam semalam, namun tiada kematian di luar fasiliti kesihatan atau ‘brought in death’ (BID).
Dua kematian itu dilaporkan di Johor dan Sarawak.
Ini menjadikan kumulatif kematian sejak 17 Mac 2020 di seluruh negara kekal kepada 36,929 mangsa, termasuk 7,866 kes BID.