290 kes varian Delta dikesan antara 19 November-8 Disember

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan sebanyak 290 jangkitan Covid-19 membabitkan varian Delta dikesan di seluruh negara dalam tempoh 19 November 2021 sehingga 8 Disember 2021.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah itu menjadikan keseluruhan kumulatif positif varian Delta sebanyak 4,722 kes.

Menurutnya jumlah varian Delta terbaharu itu dikesan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) sebanyak 108 kes; Integrative Pharmacogenomics Institute (44 kes); Tropical Infectious Diseases Research and Education Centre (17); dan Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (12).

Beliau berkata keseluruhannya dalam tempoh itu sebanyak 298 kes baharu varian membimbangkan (VOC) dikesan, menjadikan keseluruhannya 4,970 VOC iaitu 4,722 Delta; Beta (233); Alpha (14); dan satu kes varian Omicron.

“Varian Omicron itu dikesan oleh Fakulti Perubatan Universiti Malaya (FOM-UM) bersama 109 kes yang kesemuanya mempunyai varian Delta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata bagi varian yang mempunyai kepentingan (VOI) pula sebanyak 13 kes membabitkan varian Theta; Kappa (empat); dan Eta (tiga).

BERITA BERKAIT
POPULAR