29 kematian, Perak tertinggi

Seramai 29 pesakit meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19 di 10 negeri semalam, menjadikan keseluruhannya 31,073 kes, lapor Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini.

Jumlah itu termasuk 6,282 pesakit yang meninggal dunia sebelum sempat mendapatkan rawatan di hospital atau kes ’brought in death’ (BID).

Daripada kes kematian yang direkodkan semalam, Perak kekal mencatat jumlah tertinggi sebanyak tujuh kes, sama seperti pada Jumaat, menjadikan kumulatif kematian di negeri itu sejak awal tahun lalu sebanyak 1,334, termasuk 174 kes BID.

Setakat ini, negeri itu merekodkan kumulatif positif sebanyak 126,878 kes, dengan 123,445 pesakit telah pulih, serta 2,099 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu, 1,596 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 114 ditempatkan di PKRC; 343 dimasukkan ke hospital; dan 46 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan 32 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Negeri itu turut mencatat 13 kluster yang masih aktif, membabitkan masing-masing empat kluster tempat kerja dan pendidikan, dan kluster kumpulan berisiko tinggi (tiga) serta komuniti (dua).

Bagi negeri-negeri lain, Selangor merekodkan enam kematian semalam; diikuti Sabah (empat); masing-masing tiga di Kedah dan Pulau Pinang; Kuala Lumpur (dua); dan masing-masing satu di Johor, Melaka, Pahang dan Sarawak.

Tiada kematian dilaporkan di Kelantan, Negeri Sembilan, Perlis, Terengganu, Labuan dan Putrajaya.

Sepuluh negeri kekal merekodkan jumlah kematian melebihi 1,000 dengan Selangor mencatat 9,884 kes; diikuti Johor (3,821); Sabah (2,758); Kuala Lumpur (2,647); Kedah (2,132); Pulau Pinang (1,703); Sarawak (1,614); Perak (1,334); Negeri Sembilan (1,303); dan Kelantan (1,217).

Sehingga semalam negara mencatat 2,715,847 kumulatif kes positif, termasuk 6,290 kes import. Daripada jumlah itu, seramai 2,630,680 pesakit telah sembuh, sementara 54,094 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu, 45,577 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 4,144 ditempatkan di PKRC; 3,982 dimasukkan ke hospital; dan 391 pesakit dirawat di ICU, dengan 215 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

BERITA BERKAIT
POPULAR