29 kematian akibat Covid-19 semalam, Pahang tertinggi

Sebanyak 29 kematian akibat komplikasi Covid-19, termasuk enam yang meninggal dunia sebelum sempat diberi rawatan di hospital atau ’brought in death’ (BID), dilaporkan dalam tempoh 24 jam semalam.

Bagaimanapun, tiada kes kematian dilaporkan akibat Covid-19 di enam negeri.

Kementerian Kesihatan menerusi laman sesawang Covidnow memaklumkan angka itu menjadikan kumulatif kematian sebanyak 31,221 kes, termasuk 6,305 kes BID.

Daripada jumlah kematian semalam, Pahang mencatat enam kes menjadikan kumulatif sebanyak 753 kematian. Negeri itu turut merekodkan 93,293 kumulatif kes positif dengan 89,140 pesakit telah sembuh.

Sehingga semalam, Pahang mencatat 3,400 kes aktif, termasuk 2,360 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 817 ditempatkan di PKRC; 208 dimasukkan ke hospital; dan 15 pesakit dirawat di unit rawatan rapi, dengan 12 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sehingga kelmarin, seramai 1,172,096 atau 69.8 peratus populasi keseluruhan di negeri itu melengkapkan suntikan vaksin masing-masing.

Sebanyak 70.8 peratus atau 1,189,596 individu lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos, dan 163,299 individu menerima suntikan dos penggalak.

Sehingga kini, 13 kluster daripada 359 kluster yang dikesan di Pahang masih aktif. Lima daripadanya membabitkan kluster tempat kerja; masing-masing tiga kluster pendidikan serta komuniti; dan masing-masing satu kluster kumpulan berisiko tinggi serta pusat tahanan.

Sementara itu, KKM juga memaklumkan Perak merekodkan lima kematian semalam; diikuti Kedah (empat); masing-masing tiga di Johor, Selangor dan Terengganu; Sabah (dua); dan masing-masing satu di Kelantan, Melaka, serta Negeri Sembilan.

Tiada kes kematian dilaporkan di Perlis, Pulau Pinang, Sarawak, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Sehingga semalam, negara merekodkan 2,721,672 kumulatif kes positif, dengan 2,647,587 pesakit telah sembuh, serta 49,395 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu, 42,043 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 3,443 ditempatkan di PKRC; 3,571 dimasukkan ke hospital; dan 338 pesakit dirawat di ICU, dengan 186 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

KKM juga memaklumkan sebanyak 234 kluster daripada 6,088 kluster yang dikesan sejak awal tahun lalu, masih aktif, termasuk dua kluster yang dikesan di Kubang Pasu, Kedah, serta di Sandakan, Sabah, semalam.

BERITA BERKAIT
POPULAR