
Malaysia melaksanakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan untuk Kanak-kanak (PICKids) pada 3 Februari 2022.
Seramai 289,912 atau 8.2 peratus daripada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun telah menerima dos pertama vaksin Covid-19, lapor Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini.
Data laman sesawang Covidnow yang dikemas kini pagi ini menunjukkan semalam sahaja seramai 42,659 kanak-kanak menerima suntikan itu.
Sejak 13 Oktober tahun lalu hingga semalam pula, seramai 13,607,475 atau 57.8 peratus individu dewasa telah menerima suntikan dos penggalak.
Sebanyak 97.5 peratus atau 22,940,521 individu dewasa telah lengkap divaksinasi, manakala 23,217,374 lagi menerima sekurang-kurangnya dos pertama daripada vaksin dua dos atau vaksin dos tunggal.
Sementara itu, sejak 8 September 2021 lalu seramai 5,675,965 remaja berusia 12 hingga 17 tahun telah menerima suntikan vaksin Covid-19 masing-masing.
Daripada jumlah itu, 2,797,227 atau 89.9 peratus remaja telah lengkap divaksinasi, dan 2,878,738 atau 92.5 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.
Keseluruhannya sebanyak 65,524,828 dos vaksin diberikan kepada populasi Malaysia, termasuk rakyat asing, sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilancarkan 24 Februari lalu.
Daripada jumlah itu, 25,737,748 atau 78.8 peratus populasi telah lengkap divaksinasi, manakala 26,386,024 atau 80.8 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.