2,878 jangkitan baharu di Lembah Klang, katil hospital makin kurang

Data 4 Julai 2021

Sebanyak 6,045 kes baharu Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi dengan Lembah Klang terus menyumbang kepada jumlah kes tertinggi iaitu 2,878 jangkitan.

Semalam negara merekodkan 6,658 kes baharu dalam tempoh 24 jam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur terus mencatatkan kes tertinggi berbanding negeri-negeri lain.

Katanya dalam tempoh itu Selangor merekodkan 2,262 kes berbanding 3,047 kes semalam, manakala Kuala Lumpur kekal 616 kes seperti semalam.

Penularan jangkitan Covid-19 di kedua-dua negeri itu menyumbang kepada peningkatan penggunaan katil hospital di sekitar Lembah Klang.

Terdahulu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata hospital-hospital sekitar Lembah Klang kini sudah mula menggunakan 85 peratus ‘repurpose bed’ (katil yang diubah suai) – suatu paras yang membimbangkan.

Selain itu, kapasiti katil ICU dan bukan ICU termasuk peralatan dan kemudahan seperti alat bantuan pernafasan di hospital KKM dan Hospital Pengajar Universiti seperti Hospital Pakar Kanak-kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (HPKK UKM), Hospital Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Hospital Universiti Teknologi MARA (UiTM), akan ditingkatkan bagi menerima serta merawat lebih ramai pesakit Covid-19.

Daripada keseluruhan kes Covid-19 yang dikendalikan oleh HKL, sebanyak 71 peratus adalah pesakit Covid-19 kategori tiga hingga lima, manakala bakinya pesakit Covid-19 kategori satu dan dua.

Berdasarkan rekod terkini, Jabatan Kecemasan dan Trauma HKL menerima 60 hingga 70 pesakit Covid-19 sehari dengan purata tiga pesakit kategori empat dan lima yang memerlukan bantuan alat pernafasan selain perlu dirawat di ICU.

Lebih 85 peratus katil hospital di Lembah Klang sudah digunakan

POPULAR