287 rakyat Malaysia pulang dari luar negara hari ini positif Covid-19

Seramai 287 lagi rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara disahkan dijangkiti Covid-19 dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata 36 lagi kes import yang dikesan dalam tempoh itu melibatkan rakyat asing.

“Manakala daripada 2,888 jangkitan baharu hari ini, 2,565 adalah kes tempatan yang turut melibatkan 85 bukan warganegara Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, sebanyak 299 kes import positif Covid-19 dikesan, termasuk 265 kes yang melibatkan rkyat tempatan dan 34 warga asing.

Berdasarkan angka hari ini dan statistik laman sesawang Kementerian Kesihatan (KKM), Covidnow, jumlah kes import sejak awal penularan virus Covid-19 di negara ini pada Februari 2020 lalu, kini mencecah 11,169 kes.

Dalam kenyataan situasi semasa jangkitan Covid-19 dan banjir hari ini, Dr Noor Hisham memaklumkan 2,714 pesakit disahkan sembuh dalam tempoh 24 jam itu.

Angka itu katanya menjadikan kumulatif pesakit sembuh kepada 2,714,614 kes atau 97.4 peratus daripada 2,786,219 kumulatif kes positif.

Sehingga hari ini, seramai 248 pesakit masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 117 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

“Sebanyak satu kluster baharu dikesan hari ini menjadikan keseluruhannya 6,159 kluster dengan 5,987 telah ditamatkan dan 172 lagi masih aktif.

“Daripada 2,888 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, 36 kes atau 1.2 peratus adalah kategori 3, 4, dan 5; dan 2,852 kes (98.8 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2,” katanya.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan tiga kes baharu positif Covid-19 dalam kalangan mangsa banjir dikesan hari ini menjadikan kes terkumpul sebanyak 469 kes.

Tiada kes baharu yang melibatkan mangsa banjir di pusat pemindahan sementara dan jumlahnya masih kekal seramai 15 individu.

Menurutnya sehingga jam 3 petang tadi sembilan kes baharu penyakit berjangkit dilaporkan dalam kalangan mangsa banjir menjadikan kumulatif sebanyak 2,411 kes.

BERITA BERKAIT
POPULAR