28 pesakit Covid-19 meninggal semalam, enam di Pulau Pinang

Angka kematian akibat komplikasi Covid-19 sejak awal 2020 hingga semalam meningkat kepada 31,560 kes, susulan 28 lagi pesakit meninggal dunia dalam tempoh 24 jam semalam, lapor Kementerian Kesihatan (KKM).

Jumlah itu termasuk empat pesakit yang meninggal dunia sebelum sempat mendapat rawatan di hospital atau dikategorikan sebagai kes ‘brought in death’ (BID), menjadikan kumulatif kes BID sebanyak 6,366.

Menerusi kemas kini laman sesawang Covidnow tengah malam tadi, KKM memaklumkan Pulau Pinang merekodkan enam kematian, menjadikan keseluruhannya 1,751 kes, termasuk 370 kes BID.

Sehingga semalam Pulau Pinang mencatat 161,636 kumulatif positif dengan 157,993 pesakit telah sembuh dan 1,892 kes masih aktif, turun sebanyak 115 kes berbanding semalam.

Daripada jumlah kes aktif itu, seramai 1,647 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 74 ditempatkan di PKRC; 152 dimasukkan ke hospital; dan 19 dirawat di unit rawatan rapi dengan lapan daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sehingga semalam, seramai 1,521,946 atau 85.8 peratus daripada populasi Pulau Mutiara itu telah lengkap divaksin, manakala 86.6 peratus atau 1,536,264 individu lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos, dan 387,178 individu lagi menerima dos penggalak.

Sebanyak 16 daripada 344 kluster yang dikesan di negeri itu sejak awal 2020 hingga semalam masih aktif, dengan lapan daripadanya adalah berkaitan tempat kerja.

Bagi kes di negeri-negeri lain, Selangor merekodkan lima kematian, diikuti Perak (empat); Kelantan (tiga); masing-masing dua di Johor, Pahang, Sabah, serta Terengganu; dan masing-masing satu di Kedah, dan Sarawak.

Tiada kes kematian dilaporkan di Melaka, Negeri Sembilan, Perlis, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Sehingga semalam negara mencatat 2,767,044 kumulatif positif, dengan 2,695,751 pesakit telah sembuh, dan 39,733 kes masih aktif, turun 873 kes berbanding semalam.

Daripada jumlah kes aktif itu, 32, 549 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 3,565 ditempatkan di PKRC; 3,354 dimasukkan ke hospital; dan 265 pesakit dirawat di ICU, dengan 147 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

BERITA BERKAIT
POPULAR