28 mukim di Kedah, 2 kampung di Kelantan kena PKPD mulai 19 Mei

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sebanyak 28 mukim di daerah Kota Setar, Kedah dan dua kampung di Kelantan, dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) mulai 19 Mei hingga 1 Jun, kata Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, sehingga 16 Mei, sebanyak 975 kes aktif Covid-19 dilaporkan di seluruh daerah Kota Setar dengan enam mukim direkodkan sebagai zom merah.

Katanya, zom merah di Kota Setar membabitkan mukim Kota Setar dengan 78 kes; Mergong (223); Pengkalan Kundor (143); Derga (138); Kangkong (55); dan Anak Bukit (61).

“Selain itu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan penularan jangkitan Covid-19 telah tersebar meluas ke seluruh daerah Kota Setar dengan dalam tempoh lapan hari sahaja iaitu bermula 8 hingga 16 Mei 2021, sebanyak 799 kes positif Covid-19 dikesan.

“Ini menjadikan sebanyak hampir 100 kes sehari di Kota Setar direkodkan secara purata yang melibatkan beberapa kluster sedia ada dan Kluster Dah Putih iaitu kluster terbaharu di daerah Kota Setar.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di 28 mukim di Kota Setar berkuat kuasa 19 Mei hingga 1 Jun 2021,” katanya dalam kenyaaan hari ini.

Ismail Sabri berkata, pelaksanaan PKPD ini bertujuan mengawal pergerakan penduduk serta menyekat penularan jangkitan kes Covid-19 dari kawasan berisiko ke kawasan lain.

Pada 11 September hingga 25 September 2020, sebanyak 28 mukim di daerah Kota Setar pernah dikenakan PKPD (Pentadbiran).

Semalam, Bandar Darulaman dan Lubuk Kawah di Kedah, serta Ulu Lepar di Pahang, dikenakan PKPD bermula 18 hingga 31 Mei ini berikutan peningkatan kes Covid-19 di kawasan berkenaan.

PKPD di Bandar Darulaman dan Lubuk Kawah melibatkan sembilan lokaliti iaitu Taman Mahsuri 2A, Taman Mahsuri 2B, Taman Mahsuri 2C, Pusat Perniagaan Bandar Barat, Kampung Paya Kerchut, Taman Tunku Anum, Kampung Lubuk Kawah, Taman Desa Tanjung dan Taman Desa Darul Aman Mukim Naga.

SOP PKPD

Pada masa sama beliau berkata, KKM melaksanakan 227 ujian saringan di Kampung Pauh Lima, mukim Gunung, Bachok, dan Kampung Pauh Lima, mukim Banggu di Kota Bharu, Kelantan, dan 74 daripadanya disahkan positif Covid-19.

Katanya, KKM juga mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak dalam tempoh dua minggu iaitu peratusan kes positif adalah 26.62 peratus di Kampung Pauh Lima, Bachok, dan 55.22 peratus di Kampung Pauh Lima, Kota Bharu.

Beliau berkata, kedua-dua kampung itu juga dikenakan PKPD mulai 19 Mei hingga 1 Jun.

Ismail Sabri berkata, dalam ujian saringan ke atas 4,621 individu di Taman Tanah Putih Pauh, Kuantan, Pahang dan 326 daripadanya disahkan positif Covid-19.

Katanya, KKM turut mengesahkan masih terdapat penularan kes dalam kalangan penduduk di lokaliti berkenaan serta terdapat kes baharu dan sampel sedang menunggu keputusan.

Susulan itu katanya, PKPD yang dijadualkan tamat 18 Mei di taman berkenaan dilanjutkan sehingga 25 Mei 2021.

Beliau juga berkata, PKPD di Rumah Panjang Dinggai, Sarikei; Sarawak turut dilanjutkan sehingga 26 Mei setekah 16 daripada 67 ujian saringan disahkan positif Covid-19.

POPULAR
Cemas tertukar bayi di hospitalJune 13, 2021
Malaysia sedang bangunkan dua vaksin Covid-19 sendiriJune 12, 2021
Polis tahan lori bawa 48 pekerja kilang proses ayam positif Covid-19June 14, 2021
Masjid tak ditutup, aktiviti hanya ditangguh, kata Mufti KelantanJune 13, 2021
Agong yakin langkah kerajaan tadbir negara, tangani Covid-19June 13, 2021
PM yakin Kuala Lumpur capai imunisasi kelompok menjelang 31 OgosJune 13, 2021