28 kematian semalam, jumlah pesakit aktif meningkat kepada 60,878 orang

Jumlah kematian akibat Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam semalam, turun lebih separuh berbanding 66 kes yang direkodkan pada Selasa, menurut laporan Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini.

Menerusi laman sesawang Covidnow KKM memaklumkan sebanyak 28 pesakit meninggal dunia semalam, termasuk empat kes kematian yang belum sempat menerima rawatan hospital atau ‘brought in death’ (BID.

Jumlah terbaharu itu menjadikan keseluruhan kumulatif kematian sejak awal tahun lalu hingga semalam sebanyak 30,746 kes termasuk 6,220 kes BID.

Selangor merekodkan jumlah kematian tertinggi sebanyak enam kes menjadikan keseluruhannya 9,839 kematian direkodkan di negeri itu sehingga semalam.

Negeri itu kekal mencatat jumlah kes positif terbanyak iaitu 762,954 kes berbanding 737,116 pesakit yang telah sembuh.

Sehingga semalam, Selangor mencatat 17,581 kes aktif, termasuk 15,505 pesakit yang menjalani kuarantin di rumah; 1,067 ditempatkan di PKRC; 938 dimasukkan ke hospital; dan 71 dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan 50 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Bagi negeri-negeri lain, Sabah mencatat lima kematian; diikuti Johor (tiga); masing-masing dua di Kedah, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, dan Pulau Pinang.

Kelantan, Melaka, Terengganu dan Kuala Lumpur pula merekodkan masing-masing satu kes kematian, manakala tiada kes dilaporkan di Perlis, Sarawak, Labuan dan Putrajaya.

Sehingga semalam, lima negeri kekal merekodkan kumulatif positif melebihi 200,000 iaitu Selangor sebanyak 762,954; diikuti Sarawak (251,118); Johor (235,090); Sabah (235,900); dan Kuala Lumpur (202,978).

Sebanyak 10 negeri pula mencatat kes kematian melebihi 1,000 membabitkan Selangor sebanyak 9,839 kes; diikuti Johor (3,797); Sabah (2,724); Kuala Lumpur (2,629); Kedah (2,111); Pulau Pinang (1,674); Sarawak (1,597); Perak (1,295); Negeri Sembilan (1,289); dan Kelantan (1,191).

Sementara itu, KKM juga memaklumkan sehingga semalam, jumlah kes aktif meningkat sebanyak 467 kes menjadi 60,878 kes berbanding 60,411 yang dicatat pada Selasa.

Daripada jumlah itu, seramai 49,644 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 5,996 ditempatkan di PKRC; 4,810 dimasukkan ke hospital; dan 428 pesakit dirawat di ICU, dengan 237 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sejak kes pertama Covid-19 dilaporkan di negara ini awal tahun lalu sehingga semalam sebanyak 2,666,959 kes positif telah dikesan, dengan 2,581,395 pesakit telah sembuh.

BERITA BERKAIT
POPULAR