27,808 kes baharu semalam, kedua tertinggi sejak Februari 2020

Jangkitan harian Covid-19 pada Jumaat 18 Februari 2022, melonjak semula – kedua tertinggi sejak wabak itu melanda negara awal 2020 lalu, setelah merekodkan 27,831 pada Rabu lalu, lapor Kementerian Kesihatan (KKM).

Menurut statistik laman sesawang Covidnow yang dikemas kini tengah malam ini, dalam tempoh 24 jam semalam sebanyak 27,808 jangkitan baharu dilaporkan, meningkat 1,107 kes berbanding 26,701 yang dicatat pada Khamis.

Jumlah terbaharu itu menjadikan kumulatif positif sejak awal 2020 lalu hingga semalam sebanyak 3,166,023, kes dengan 2,900,682 pesakit telah sembuh, dan 32,276 kematian.

Lapan negeri mencatat peningkatan kes dengan Selangor kembali merekodkan jumlah tertinggi apabila melaporkan 6,064 kes, berbanding 5,858 kes pada Khamis, menjadikan kumulatif positif melonjak kepada 881,952 kes.

Sehingga semalam, seramai 818,020 pesakit telah sembuh, 10,106 kes kematian dan 53,826 kes masih aktif, termasuk 52,193 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 471 ditempatkan di PKRC; 1,128 dimasukkan ke hospital; dan 34 dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 18 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Negeri lain yang mencatat peningkatan kes harian ialah Sabah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu, Perak, dan Sarawak.

Sabah mencatat 5,565 kes baharu berbanding 4,798 pada Khamis, diikuti Pulau Pinang (2,088 kes baharu, 1,999 Khamis); dan Negeri Sembilan (1,712 kes baharu, 739 Khamis).

Pahang pula merekodkan 1,376 kes baharu, berbanding 1,096 pada Khamis; Terengganu (538 kes baharu, 515 Khamis:; Perak (489 kes baharu, 486 Khamis); dan Sarawak (390 kes baharu, 278 Khamis).

Sehingga semalam, negara mencatat 233,065 kes masih aktif, bertambah 15,284 kes berbanding 217,781 yang direkodkan pada Khamis.

Daripada jumlah kes aktif itu, seramai 219,696 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 5,476 (PKRC); 7,658 (hospital); dan 235 pesakit dirawat di ICU dengan 132 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

BERITA BERKAIT
POPULAR