2,757 kes baharu Covid-19, kedua terendah sepanjang Disember

Jumlah jangkitan Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi turun 21 kes berbanding semalam, kedua terendah dalam bulan ini setelah merekodkan 2,589 kes pada 20 Disember lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dalam tempoh itu, sebanyak 2,757 kes positif dikesan berbanding 2,778 yang dicatatkan dalam tempoh sama semalam.

Dalam kenyataan ringkas hari ini beliau berkata, angka terbaharu itu menjadikan kumulatif positif sejak awal tahun lalu hingga kini sebanyak 2,743,936 kes.

Sehingga semalam seramai 2,665,030 pesakit telah sembuh, manakala 31,334 lagi meningga dunia, dan 44,815 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu, seramai 37,183 pesakit kini menjalani kuarantin di rumah; 3,783 ditempatkan di PKRC; 3,543 dimasukkan ke hospital dan 306 dirawat di unit rawatan rapi, dengan 170 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Mengenai kadar kebolehjangkitan, Dr Noor Hisham berkata, Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian semalam untuk seluruh negara adalah pada nilai 0.90.

Berdasarkan data dikongsi beliau, Terengganu mencatat nilai Rt 1.01 manakala negeri-negeri lain antara 0.72 dan 0.97.

Untuk rekod, nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus iaitu berapa ramai individu boleh dijangkiti oleh satu kes positif. Semakin rendah nilai itu, semakin kurang kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif.

Menurut pakar kesihatan, nilai Rt berada pada tahap membimbangkan apabila ia melepasi nilai 1.0 dengan lebih ramai individu berpotensi untuk dijangkiti wabak berkenaan.

Sehingga semalam juga, lebih 56.8 juta dos vaksin telah diberikan kepada individu berusia 12 tahun dan ke atas sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilancarkan pada 24 Februari lalu.

Daripada jumlah itu, seramai 25,582,524 atau 78.3 peratus populasi Malaysia telah lengkap divaksinasi, manakala 79.5 peratus atau 25,975,901 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Seramai 5,452,251 atau 16.7 peratus lagi menerima suntikan dos penggalak.

BERITA BERKAIT
POPULAR