273 rakyat tempatan pulang dari luar negara positif Covid-19 hari ini

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan sebanyak 338 lagi kes import Covid-19 dikesan dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah itu, seramai 273 adalah rakyat tempatan dan 65 lagi membabitkan warganegara asing.

Jumlah itu menjadikan keseluruhan kes import sejak awal 2020 lalu hingga hari ini sebanyak 11,507 kes.

Pada masa sama beliau juga memaklumkan seramai 2,808 pesakit Covid-19 disahkan sembuh hari ini menjadikan kumulatif pulih sebanyak 2,717,422 kes atau 97.4 peratus daripada 2,788,860 kumulatif positif.

“Seramai 253 pesakit masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan 106 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

“Daripada 2,641 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, 57 kes atau 2.2 peratus adalah kategori 3, 4, dan 5; dan 2,584 kes (97.8 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu sebanyak empat lagi kluster baharu Covid-19 dikesan dalam tempoh itu. Sejak awal 2020 hingga hari ini sebanyak 6,163 kluster telah direkodkan dengan 5,994 daripadanya telah ditamatkan dan 169 kluster lagi masih aktif.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan KKM mengesan satu lagi kes baharu Covid-19 dalam kalangan mangsa banjir, menjadikan keseluruhannya 470 kes.

Bagaimanapun, kes Covid-19 di pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir kekal pada 15 kes. Sehingga kini hanya satu kluster Covid-19 dikesan di PPS, katanya.

Bagaimanapun, katanya 23 lagi kes berjangkit dalam kalangan mangsa banjir dikesan hari ini menjadikan keseluruhannya setakat ini sebanyak 2,434 kes, dengan tertinggi adalah penyakit berkaitan jangkitan saluran pernafasan akut sebanyak 1,500 kes.

Ini diikuti penyakit kulit sebanyak 618 kes diikuti Acute Gastroenteritis (294 kes); konjunktivitis (16); dan penyakit tangan dan mulut (enam kes).

Dr Noor Hisham juga memaklumkan bagi Minggu Epidemiologi 1/2022 (ME1) yang bermula 2 Januari 2022 sehingga 8 Januari 2022, jumlah kes baharu Covid-19 yang dilaporkan adalah 21,859 kes, dengan jumlah kes kematian sebanyak 142 kes, manakala purata kes aktif adalah 38,581 kes.

BERITA BERKAIT
POPULAR