27,299 kes baharu, 43 kematian

Jangkitan baharu Covid-19 di seluruh negara hari ini, turun di bawah paras 30,000, apabila merekodkan 27,299 kes, menurut Kementerian Kesihatan lewat malam ini.

Seramai 43 pesakit juga dilaporkan meninggal dunia hari itu, termasuk 13 daripadanya meninggal sebelum mendapat rawatan di hospital atau kes BID.

Jumlah itu menjadikan kes kematian sejak awal tahun lalu akibat komplikasi Covid-19 meningkat kepada 32,634 kes, termasuk 6,673 kes BID.

Jumlah jangkitan terbaharu itu menjadikan kumulatif positif sebanyak 3,395,170 kes, dengan 3,063,560 pesakit telah sembuh, dan 298,976 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu seramai 286,959 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 3,758 ditempatkan di PKRC; 7,911 dimasukkan ke hospital dan 348 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan 203 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sementara itu, semua negeri merekodkan kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Rt melebihi 1.00, dengan Perak mencatat nilai tertinggi Rt 1.38.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata bagi seluruh negara, kadar kebolehjangkitan pada jangkaan mengikut kes seharian semalam adalah pada Rt 1.11.

Berdasarkan perkongsian beliau, Labuan mencatat kadar kebolehjangkitan sebanyak Rt 1.36; diikuti Terengganu (1.27); Sarawak (1.26); Perlis (1.24); Pulau Pinang (1.21); masing-masing 1.20 bagi Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, serta Pahang; Selangor (1.19); Kedah (1.15); Sabah (1.15); Kelantan (1.14); Johor (1.06); Melaka (1.05); dan Putrajaya (1.02).

Untuk rekod, nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan virus iaitu berapa ramai individu boleh dijangkiti oleh satu kes positif. Semakin rendah nilai itu, semakin kurang kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif.

Menurut pakar kesihatan, nilai Rt berada pada tahap membimbangkan apabila melepasi 1.00 dengan lebih ramai individu berpotensi untuk dijangkiti.

Sebagai contoh, jika nilai Rt adalah 1.5, ia bererti satu kes positif boleh menyebarkannya kepada seorang atau dua orang yang lain.

BERITA BERKAIT
POPULAR