27 guru pelatih di IPG Tuaran positif Covid-19, cetus kluster baharu

Dua puluh tujuh pelatih wanita Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ken Baru disahkan dijangkiti Covid-19, sekali gus mencetuskan Kluster Jalan Tuaran Bakut di Sabah.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Masidi Manjun berkata kes indeks adalah seorang pelajar warga tempatan berusia 20 tahun yang dikesan positif setelah ujian PCR pada 27 November lalu menerusi saringan bergejala.

Susulan itu, katanya saringan kontak rapat dan saringan bergejala ke atas 134 orang mendapati 26 kes positif, menjadikan keseluruhannya sebanyak 27 kes.

“Punca jangkitan masih dalam siasatan. Bagaimanapun penularan jangkitan disyaki berpunca daripada aktiviti pergaulan pelajar di asrama.

“Semua pesakit diasingkan dan diberikan rawatan yang sesuai,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Beliau yang menjadi jurucakap harian Covid-19 Sabah, berkata kluster dalam kategori institusi pendidikan itu dikenal pasti di Tuaran.

Masidi juga memaklumkan jumlah kes harian Covid-19 di negeri itu hari ini kekal mencatatkan tiga angka.

Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), jumlah kes positif baharu Covid-19 hari ini adalah sebanyak 322 kes, meningkat berbanding 307 kes semalam, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 236,046 kes.

“Bilangan pesakit Covid-19 sembuh ialah 321 menjadikan jumlah kumulatif 226,330 orang,” katanya.

Sehingga semalam, Sabah mencatat 6,926 kes aktif dengan 5,775 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 612 ditempatkan di PKRC; 484 dimasukkan ke hospital; dan 55 pesakit dirawat di unit rawatan rapi, dengan 20 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

BERITA BERKAIT
POPULAR