26,832 kes baharu semalam

Jangkitan harian Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam semalam, turun sedikit, dengan hanya tiga negeri sahaja melaporkan peningkatan kes, menurut Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini.

Menerusi kemas kini laman sesawangnya Covidnow, KKM memaklumkan sebanyak 26,832 jangkitan baharu dikesan semalam, berbanding 28,825 kes pada Sabtu – jumlah tertinggi pernah direkodkan sejak wabak Covid-19 melanda negara awal 2020 lalu.

Jumlah terbaharu itu menjadikan kumulatif positif sehingga semalam meningkat kepada 3,221,680 – ketiga tertinggi dalam kalangan negara-negara ASEAN setelah Indonesia dan Filipina.

Dalam tempoh itu juga seramai 2,937,655 pesakit telah pulih, 32,347 kes kematian dilaporkan dan 251,678 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif di seluruh negara, 238,620 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 5,287 ditempatkan di PKRC; 7,524 dimasukkan ke hospital; dan 247 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan 139 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Pada masa sama, jumlah kumulatif positif di Johor kini melepasi 300,000 apabila mencatat 2,644 kes baharu dalam tempoh 24 jam semalam, menjadikan keseluruhannya 301,544 kes. Pada Sabtu, kes terkumpul di Johor ialah 298,900.

Manakala jumlah kumulatif positif di Kelantan pula melepasi 200,000, setelah 2,254 lagi kes dicatat semalam, menjadikan keseluruhannya sebanyak 201,316 kes. Jumlah terkumpul pada Sabtu ialah 199,062 kes.

Tiga negeri dan Wilayah Persekutuan yang mencatat peningkatan kes harian semalam ialah Pahang sebanyak 1,581 kes berbanding 1,367 kes pada Sabtu, diikuti Kuala Lumpur (1,428 kes baharu, 1,247 Sabtu); dan Putrajaya (173 kes baharu, 144 pada Sabtu).

Pahang kini merekodkan kumulatif positif sebanyak 118,117 kes, dengan 104,716 pesakit telah sembuh, 891 kes kematian dan 12,582 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu, seramai 11,652 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 536 ditempatkan di PKRC; 383 dimasukkan ke hospital; dan 11 pesakit dirawat di ICU dengan tujuh daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Menurut KKM sebanyak 44 kluster masih aktif di Pahang melibatkan 31 kluster pendidikan; tempat kerja (lima); komuniti (empat); kumpulan berisiko tinggi (tiga); dan pusat tahanan (satu).

Selangor, walaupun jangkitan harian menurun daripada 7,192 kes pada Sabtu kepada 7,180 semalam, kekal menjadi negeri tertinggi merekodkan jangkitan harian.

Negeri itu sehingga semalam merekodkan 896,324 kumulatif positif, dengan 823,470 pesakit telah sembuh, 10,118 kes kematian, dan 62,736 kes masih aktif, tertinggi berbanding negeri-negeri lain.

Daripada jumlah kes aktif di Selangor, seramai 61,017 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 430 ditempatkan di PKRC; 1,254 dimasukkan ke hospital; dan 35 pesakit dirawat di ICU, dengan 19 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

BERITA BERKAIT
POPULAR