261 varian membimbangkan dikesan dalam negara: KKM

Varian membimbangkan (VOC) masih menular dalam negara, terbaharu Kementerian Kesihatan (KKM) menemui sebanyak 261 kes Covid-19 melibatkan varian Delta dan Beta.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata varian yang dikesan itu ialah 259 kes dijangkiti varian Delta (B.1.617.2) dan dua lagi adalah varian Beta (B.1.351).

Pengesanan tersebut hasil kajian dilakukan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) Integrative Pharmacogenomics Institute (iPROMISE) Universiti Institut Teknologi MARA (UiTM) dan Institut Genom Malaysia (MGI).

Selain itu, ia turut dibantu Tropical Infectious Diseases Research & Education Centre Universiti Malaya (TIDREC-UM) dan Fakuliti Perubatan Universiti Malaya (FOM-UM).

“FOM-UM mengenal pasti 72 kes yang semuanya adalah varian Delta, IMR (55 kes varian Delta), iPROMISE-UiTM (46 kes varian Delta), MGI (45 kes varian Delta dan satu Beta) serta TIDREC-UM (41 varian Delta dan satu Beta).

“Bagi varian Delta, ia dikesan di semua negeri iaitu tertinggi dilaporkan di Selangor dengan 72 kes, Pulau Pinang (33), Kedah (29) dan Perak (26).

“Selain itu, Kelantan (23), Terengganu (19), Sabah (18), Johor (15) dan Pahang (11), Kuala Lumpur (6), masing-masing tiga di Perlis dan Labuan serta satu di Putrajaya.

“Sementara itu, bagi dua varian Beta, masing-masing satu kes dikesan di Selangor dan Kelantan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti virus SARS-CoV-2 dikategorikan sebagai VOC dan Variant of Interest (VOI) adalah sebanyak 2,645 kes.

“Daripada jumlah dinyatakan itu, sebanyak 2,625 kes adalah VOC dengan 20 kes merangkumi VOI,” katanya.

Memperincikan jumlah kes dikesan mempunyai varian berkenaan, Dr Noor Hisham berkata, sehingga kini 2,385 kes Covid-19 mempunyai varian Delta, Beta (226), Alpha (14).

“Selain itu, bagi varian VOI pula, ia membabitkan varian Theta (13 kes), Kappa (empat) dan Eta (tiga),” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR