25,000 kanak-kanak 0 – 11 tahun dijangkiti Covid-19 minggu lalu

Jumlah kanak-kanak yang mendapat jangkitan Covid-19 bagi kategori empat dan lima mencatatkan peningkatan mendadak dalam tempoh tiga bulan kebelakangan ini dan situasi itu membimbangkan.

Pakar Perunding Intensif Pediatrik Prof Madya Dr Anis Siham Zainal Abidin berkata sepanjang tiga minggu lalu 17 kematian dilaporkan membabitkan kanak-kanak di seluruh negara.

Menurutnya minggu lepas sahaja 12,000 kanak-kanak berusia kosong hingga empat tahun dan 13,000 kanak-kanak lima hingga 11 tahun telah dijangkiti Covid-19 dan mereka mengalami beberapa implikasi.

“Untuk kanak-kanak yang masuk ke hospital mereka ada beberapa kategori dan kalau kita lihat daripada tahun lepas kategori yang kebiasaannya mereka masuk adalah kategori yang rendah.

“Tapi kali ini dia masuk dalam keadaan kategori yang agak tinggi. Kategori empat dan lima itu lebih ramai berbanding dengan tahun lepas.

“Jadi apa yang berlaku ialah kanak-kanak ini boleh mendapat dua jenis implikasi daripada jangkitan Covid ini. Satu ialah kesan jangkitan Covid itu sendiri terhadap badan dan kedua ialah kesan radang selepas dua hingga enam minggu dari jangkitan pertama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Forum Awam: ‘Vaksin COVID-19: Adakah Anak Anda Perlukannya?” yang diadakan secara maya menerusi YouTube dan Zoom anjuran Persatuan Persatuan Pediatrik Malaysia dan Immunise4life.

Dr Anis Siham berkata keadaan itu disebut sebagai sindrom keradangan pelbagai sistem dalam kanak-kanak (MISC) yang turut menyerang paru-paru, jantung dan saraf otak.

“Kategori empat kategori lima sekarang ini di ICU. Mereka memerlukan bantuan pernafasan… dan paling ketara sekali perbezaan antara tahun lepas dan tahun ni ialah kebanyakan kanak-kanak sekarang ini daripada menyerang paru-paru, mereka juga dijangkiti serangan kepada jantung dan juga serangan kepada saraf dan otak.

“Jadi itu yang kami lihat perbezaan dia dan dan kadar tenat ini lebih teruk berbanding dengan tahun lepas. Dan yang kedua ialah MISC di mana badan diserang oleh imun sistem sendiri dan selalunya ia menyerang ialah jantung,” katanya

Malah menurut Dr Anis Siham, ada juga kes di mana beliau terpaksa mencuci semula darah pesakit berusia tidak sampai sebulan dan 12 hingga 15 tahun.

BERITA BERKAIT
POPULAR