25 kluster baharu dikesan, 60 kematian direkodkan

Data 17 Jun 2021

Sebanyak 60 kes kematian akibat Covid-19 di seluruh negara direkodkan dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi membabitkan 58 warganegara dan dua bukan warganegara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata sebanyak 7,530 kes dilaporkan sembuh menjadikan kumulatif kes sembuh sehingga kini sebanyak 608,465.

“Sebanyak 66,097 kes masih aktif. Seramai 909 pesakit dirawat di unit rawatan rapi dan daripada jumlah itu 441 kes memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata dalam tempoh itu 25 lagi kluster dikesan menjadikan 795 kluster masih aktif dengan 1,762 kluster ditamatkan.

Dua puluh daripada kluster baharu itu membabitkan tempat kerja, komuniti (empat) dan pendidikan (satu).

Dr Noor Hisham berkata Selangor dan Johor masing-masing mencatatkan enam kluster baharu yang semuanya membabitkan tempat kerja diikuti Kedah (empat – tempat kerja); masing-masing dua di Pulau Pinang, Sarawak dan Negeri Sembilan (tempat kerja dan komuniti), dan masing-masing satu di Melaka, Kuala Lumpur dan Terengganu membabitkan kluster komuniti dan pendidikan.

Terdahulu beliau memaklumkan 5,738 kes baharu Covid-19 dilaporkan dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi.

Buat kali pertama kes positif baharu Covid-19 di Negeri Sembilan mencanak naik apabila dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi merekodkan kes harian tertinggi sebanyak 1,086.

Data 17 Jun 2021

POPULAR