25 kematian, 46,877 kes aktif

Seramai 25 lagi pesakit Covid-19 meninggal dunia dalam tempoh 24 jam semalam, menjadikan kumulatif kematian sejak awal tahun lalu sebanyak 31,290 kes, menurut data Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini.

Menerusi laman sesawang Covidnow kendalian KKM, jumlah itu termasuk lima pesakit yang meninggal dunia sebelum menerima rawatan di hospital atau ’brought in death’ (BID) menjadikan jumlahnya sehingga semalam sebanyak 6,321 kes BID.

Daripada jumlah kematian itu, Johor merekodkan enam kes menjadikan jumlah pesakit Covid-19 di negeri itu yang meninggal dunia sebanyak 3,843 kes, daripada keseluruhan 166,743 kumulatif positif.

Dalam tempoh sama juga Johor merekodkan 232,428 kes sembuh, sementara 6,009 kes lagi masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu, seramai 5,048 pesakit kini menjalani kuarantin di rumah, manakala 473 lagi ditempatkan di PKRC; 466 dimasukkan ke hospital; dan 22 pesakit dirawat di unit rawatan rapi dengan 17 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Daripada 1,145 kluster yang dikesan di Johor, 35 masih aktif dengan 21 daripadanya kes membabitkan tempat kerja; komuniti (tujuh); pendidikan (tiga); dan masing-masing dua kluster keagamaan dan kumpulan berisiko tinggi.

Selain Johor, Terengganu merekodkan lima lagi kematian akibat komplikasi Covid-19 semalam; diikuti Perak (empat); Selangor (tiga); masing-masing dua di Kedah dan Kelantan; serta masing-masing satu di Pahang, Sabah, serta Kuala Lumpur.

Tiada kes kematian dilaporkan di Melaka, Negeri Sembilan, Perlis, Pulau Pinang, Sarawak, Labuan dan Putrajaya.

KKM juga memaklumkan sehingga semalam sebanyak 46,877 kes masih aktif di seluruh negara dengan 39,117 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 3,871 ditempatkan di PKRC; 3,550 dimasukkan ke hospital; dan 339 pesakit dirawat di ICU dengan 180 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sehingga semalam negara merekodkan 2,735,241 kumulatif kes positif, termasuk 6,729 kes import, dengan 2,657,074 pesakit telah sembuh.

Taburan kematian mengikut kumpulan umur sehingga 24 Disember 2021.

BERITA BERKAIT
POPULAR