25 kematian, 45,591 kes masih aktif

Sebanyak 25 lagi kematian akibat komplikasi Covid-19 dalam tempoh 24 jam semalam, termasuk empat pesakit yang meninggal dunia sebelum sempat menerima rawatan di hospital atau kes BID, lapor Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini.

Angka itu menjadikan kumulatif kematian sebanyak 31,315 kes, termasuk 6,325, menurut data dikemas kini dalam laman sesawang KKM, Covidnow pagi ini.

Daripada keseluruhan kes kematian itu, Selangor merekodkan enam kes menjadikan kumulatif di negeri itu sebanyak 9,916. Negeri itu turut merekodkan 781,838 kes positif, dengan 759,534 pesakit telah sembuh dan 12,388 kes aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu, 10,969 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 610 ditempatkan di PKRC; 746 dimasukkan ke hospital; dan 63 dirawat di unit rawatan rapi dengan 45 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sehingga semalam, seramai 4,759,854 atau 94.1 peratus populasi di Selangor telah lengkap divaksin, 95.4 peratus atau 4,834,925 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos, dan 1,155,987 menerima dos penggalak.

Bagi negeri-negeri lain, Perak merekodkan empat kes kematian; diikuti masing-masing tiga di Johor dan Pulau Pinang; masing-masing dua kes di Kelantan, Pahang, dan Kuala Lumpur; serta masing-masing satu kes di Negeri Sembilan, Perlis dan Terengganu.

Menurut KKM, tiada kes kematian dilaporkan di Kedah, Melaka, Sabah, Sarawak, Labuan dan Putrajaya.

Sementara itu, jumlah kes aktif di seluruh negara sehingga semalam turun sebanyak 1,286 kes kepada 45,591 kes.

Daripada jumlah itu, 38,097 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 3,657 ditempatkan di PKRC; 3,513 dimasukkan ke hospital; dan 324 pesakit dirawat di ICU dengan 175 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sejak Covid-19 melanda negara awal tahun lalu hingga semalam, negara merekodkan 2,738,401 kumulatif kes positif dengan 2,661,495 pesakit telah sembuh.

BERITA BERKAIT
POPULAR