24 pelajar Maktab Mahmud pula positif Covid-19

Serangan wabak Covid-19 dalam kalangan pelajar sekolah semakin menjadi-jadi dengan terbaharu 24 pelajar lelaki Maktab Mahmud di Taman Pelangi Jaya dekat Sik, Kedah, pula disahkan positif.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Dr Mohd Hayati Othman yang menerima laporan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Kedah (JKNKedah).

Beliau berkata, JKNKedah telah melaporkan satu kluster institusi pendidikan yang baharu dikenali sebagai Kluster Dah Pelangi.

“Setakat ini sebanyak 24 kes positif telah dikesan, yang mana kesemuanya melibatkan pelajar-pelajar lelaki di asrama sekolah berkenaan.

“Kes kluster ini dikesan setelah beberapa pelajar mengalami gejala bermula 28 November lalu dan pihak pengurusan sekolah telah melakukan saringan bersasar kepada pelajar terlibat, dan kes mula didaftarkan positif pada hari ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata sehingga jam 12 tengah hari tadi, seramai 38 individu telah disaring yang mana 24 daripadanya positif, 14 negatif dan tiada sampel menunggu keputusan yang lain hari ini.

“Punca penularan masih dalam siasatan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Sik. Pihak PKD Sik juga telah menjalankan isolasi dan pemerhatian terhadap kes-kes positif, manakala kontak rapat yang telah dikenal pasti telah diarahkan menjalani kuarantin.

“Notis penutupan sekolah juga telah diberikan dan berkuat kuasa hari ini sehingga kerja-kerja basmi kuman dan pencegahan penularan selesai dijalankan,” katanya.

Sementara itu, memetik Bernama Dr Mohd Hayati meminta orang ramai terutamanya pihak pengurusan sekolah untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah digariskan oleh kerajaan.

“Pastikan patuh penjarakan fizikal sepanjang masa, elak bersentuhan dan bersembang dekat, pakai pelitup hidung dan mulut, hindari kawasan sesak, kerap mencuci tangan dan dapatkan imunisasi Covid-19,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR