24 kematian, 168,447 kes aktif

Sebanyak 24 kematian akibat komplikasi Covid-19 dilaporkan di seluruh negara dalam tempoh 24 jam semalam, termasuk 11 pesakit meninggal dunia sebelum sempat menerima rawatan di hospital atau kes ’brought in death’ (BID).

Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini memaklumkan jumlah itu menjadikan kumulatif kematian di Malaysia akibat Covid-19 sejak awal 2020 lalu hingga semalam mencecah 32,149 kes, termasuk 6,504 kes BID.

Johor dan Sabah masing-masing merekodkan lima kes kematian; diikuti Selangor (empat); Kedah (tiga); masing-masing dua di Kelantan, Negeri Sembilan, serta Terengganu; dan satu kes di Perak.

Johor yang bakal berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Mac depan kini merekodkan 3,948 kes kematian, 285,227 kumulatif kes positif, 258,513 kes sembuh, 63 kluster aktif, dan 22,766 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu, seramai 21,220 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 474 ditempatkan di PKRC; 1,044 dimasukkan ke hospital; dan 28 dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan 20 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac 2022 sebagai hari pembuangan undi bagi PRN Johor, manakala hari penamaan calon adalah pada 26 Februari 2022 dan hari mengundi awal pada 8 Mac 2022. PRN itu melibatkan 2,597,742 pengundi berdaftar.

Sementara itu jumlah kumulatif kes kematian di Sabah turut meningkat kepada 2,856 kes, menurut statistik Covidnow yang dikemas kini pagi ini.

Sehingga semalam, Sabah mencatat 278,295 kumulatif kes positif, dengan 245,136 pesakit telah sembuh, dan 29,001 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu seramai 26,280 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 1,443 ditempatkan di PKRC; 1,243 dimasukkan ke hospital; dan 35 menerima rawatan di ICU, termasuk 20 pesakit yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Keseluruhannya, Selangor kekal menjadi negeri yang mencatat jumlah kematian tertinggi iaitu seramai 10,077 pesakit. Negeri itu juga mencatat 859,521 kumulatif kes positif dengan 809,415 pesakit telah sembuh, dan 40,029 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu, seramai 38,502 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 445 ditempatkan di PKRC; 1,048 dimasukkan ke hospital; dan 34 dirawat di ICU dengan 23 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sehingga semalam negara mencatat 3,061,550 kumulatif kes positif, dengan 2,860,954 pesakit telah sembuh, dan 168,447 kes masih aktif, meningkat 12,774 kes berbanding 155,673 yang dicatat pada Ahad.

Daripada jumlah kes aktif itu seramai 155,866 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 5,963 ditempatkan di PKRC; 6,419 dimasukkan ke hospital; dan 199 pesakit dirawat di ICU, dengan 115 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

BERITA BERKAIT
POPULAR