Kadar nilai kebolehjangkitan (Rt) atau R-naught (RO) Covid-19 mengikut kes seharian semalam (Jumaat) untuk seluruh negara terus meningkat kepada 1.18.
12 April lalu kadar kebolehjangkitan untuk seluruh negara pada 1.06.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata, Terengganu kekal mencatat Ro/Rt tertinggi dengan 1.34, diikuti Kelantan (1.30).
Pada permulaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 10 Mac 2020, nilai R ketika itu adalah 3.5.
Nilai R kemudian berjaya diturunkan sehingga 0.3, iaitu susulan impak positif tindakan yang telah diambil oleh kerajaan serta pematuhan oleh rakyat kepada perintah dan SOP yang diperkenalkan.
Negara mencatatkan semula nilai R yang tinggi pada 7 September 2020 iaitu 1.7 susulan peningkatan kes Covid-19 di Kedah dan Sabah pada ketika itu.
Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 2,331 jangkitan baharu Covid-19 dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan keseluruhan kumulatif kes ialah 372,859.
Katanya, Selangor mencatat kes baharu tertinggi sebanyak 751, diikuti Sarawak (512); Kuala Lumpur (252) dan Kelantan (225).