[KEMAS KINI] 233 pesakit Covid-19 meninggal hari ini

Jumlah pesakit Covid-19 yang dilaporkan sembuh dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi kekal di atas paras 21,000 kes, namun angka kematian naik semula kepada 233 kes berbanding 178 kematian semalam.

Jumlah kematian itu termasuk 34 bukan warganegara Malaysia. Sebanyak 60 pesakit pula dilaporkan meninggal dunia sebelum dibawa ke hospital.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dalam tempoh itu 21,448 pesakit sembuh menjadikan kumulatif melebihi 1.24 juta kes, berbanding jumlah positif lebih 1.51 juta kes.

Menurutnya sebanyak 257,417 daripada jumlah keseluruhan kes positif itu masih aktif.

“Seramai 1,062 pesakit masih dirawat di unit rawatan rapi dengan 518 memerlukan bantuan alat pernafasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu beliau memaklumkan 23,564 jangkitan baharu dikesan dalam tempoh 24 jam itu dengan 3,838 membabitkan bukan earganegara Malaysia.

Daripada jumlah kes harian itu sebanyak 431 kes atau 1.8 peratus adalah daripada kategori 3, 4 dan 5, manakala sebanyak 23,133 kes (98.2 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.

“Secara keseluruhan, 19,362 kes (82.2 peratus) daripada jumlah kes yang dilaporkan pada hari ini tiada atau tidak lengkap vaksinasi,” katanya.

Mengenai kadar kebolehjangkitan pula beliau berkata, berdasarkan data terkini pada 19 Ogos 2021, nilai RT Malaysia adalah sebanyak 1.04.

Negeri yang mencatatkan nilai RT yang tertinggi adalah Perlis (nilai RT 1.31), diikuti oleh Sabah (nilai RT 1.22), dan Sarawak (nilai RT 1.21). Semua negeri mencatatkan RT melebihi 1.0 kecuali Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Wilayah Persekutuan Labuan, dan Negeri Sembilan.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan 38 lagi kluster baharu direkodkan dalam tempoh 24 jam itu menjadikan keseluruhannya 4,386 kluster dengan hanya 1,422 kluster masih aktif.

Daripada jumlah kluster itu, 22 membabitkan tempat kerja, komuniti (14), dan dua kluster berkaitan pendidikan.

BERITA BERKAIT
POPULAR