[KEMAS KINI] 232 kematian akibat Covid-19 dilaporkan hari ini

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan seramai 232 pesakit Covid-19, termasuk 31 daripadanya bukan rakyat Malaysia, meninggal dunia dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini berkata, angka itu menjadikan kumulatif kematian sejak pandemik Covid-19 melanda negara kepada 14,168 kes.

Beliau berkata dalam tempoh itu juga 43 kes meninggal dunia sebelum dibawa ke hospital (BID) yang turut membabitkan 11 pesakit bukan warganegara Malaysia, dilaporkan.

Sehingga kini, 262,255 kes daripada lebih 1.55 juta jangkitan positif masih aktif, manakala 1,026 pesakit masih dirawat di unit rawatan rapi dengan 496 memerlukan bantuan alat pernafasan.

Dalam tempoh 24 jam itu juga 18,200 pesakit disahkan sembuh menjadikan kumulatif 1,278,670 kes sembuh atau 82.23 peratus daripada keseluruhan kes positif.

Terdahulu beliau memaklumkan 19,802 jangkitan baharu yang turut membabitkan 3,461 warganegara asing direkodkan dalam tempoh itu.

Beliau berkata daripada jumlah itu sebanyak 343 kes atau 1.7 peratus adalah daripada kategori 3, 4 dan 5, manakala sebanyak 19,464 kes (98.3 peratus) lagi adalah kategori 1 dan 2.

“Secara keseluruhan, 16,368 kes atau 82.6 peratus daripada jumlah kes yang dilaporkan pada hari ini tiada atau tidak lengkap vaksinasi,” katanya.

Mengenai kadar kebolehjangkitan beliau berkata berdasarkan data terkini pada 21 Ogos 2021, nilai RT Malaysia adalah sebanyak 1.04.
“Negeri yang mencatatkan nilai RT yang tertinggi adalah Perlis dan Sarawak (masing-masing nilai RT 1.31), diikuti oleh Sabah (nilai RT 1.22) dan Pulau Pinang (nilai RT 1.16). Semua negeri mencatatkan nilai RT melebihi 1.0 kecuali Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Wilayah Persekutuan Labuan, dan Negeri Sembilan,” katanya.

Sementara itu Dr Noor Hisham turut memaklumkan 24 kluster baharu dikesan menjadikan keseluruhannya 4,442 kluster dengan 3,006 telah ditamatkan dan 1,436 lagi masih aktif.

Sebanyak 12 daripada kluster baharu itu membabitkan tempat kerja, komuniti (11) dan kumpulan berisiko tinggi (satu).

Data 22 Ogos 2021

BERITA BERKAIT
POPULAR