23 kematian semalam, melonjak sekali ganda berbanding Sabtu

Jumlah kematian di seluruh negara dalam tempoh 24 jam semalam meningkat dua kali ganda berbanding 11 kes pada Sabtu, dengan Terengganu merekodkan kes tertinggi, lapor Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini.

Menerusi kemas kini laman sesawang Covidnow pagi tadi, sebanyak 23 kematian dicatatkan di seluruh negara, termasuk empat pesakit meninggal dunia sebelum sempat menerima rawatan di hospital atau dikategorikan sebagai kes ‘brought in death’ (BID).

Jumlah itu menjadikan keseluruhan kes kematian sejak awal 2020 hingga semalam meningkat kepada 31,678 kes, termasuk 6,390 kes BID, menurut statistik KKM.

Terengganu merekodkan lapan kematian semalam, termasuk dua kes BID menjadikan keseluruhannya 731 kes. Negeri itu merekodkan 83,787 kumulatif kes positif dengan 81,398 pesakit telah sembuh, dan 1,658 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu, seramai 1,280 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 225 ditempatkan di PKRC; 132 dimasukkan ke hospital; dan 21 dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan 16 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Berdasarkan statistik KKM sejak seminggu lalu, 29.4 peratus kes kematian akibat komplikasi Covid-19 di Terengganu melibatkan pesakit berusia 60 hingga 69 tahun; diikuti masing-masing 17.7 peratus bagi pesakit berusia 40 hingga 49 tahun; 70-79 tahun, dan 80 tahun ke atas; dan masing-masing 5.9 peratus pesakit berusia 0 hingga 4 tahun, 12-17 tahun, dan 50-59 tahun.

Sehingga semalam, seramai 879,539 atau 69.8 peratus daripada populasi di negeri itu melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 masing-masing, manakala 892,994 atau 70.9 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

KKM memaklumkan seramai 184,211 atau 14.6 peratus individu di Terengganu telah menerima suntikan dos penggalak.

Bagi negeri-negeri lain, Kedah merekodkan empat kematian; diikuti Kelantan (tiga); Perak (dua); dan masing-masing satu di Johor, Melaka Pulau Pinang, Sabah, Selangor dan Kuala Lumpur.

Tiada kes kematian direkodkan di Negeri Sembilan, Pahang, Perlis, Sarawak, Labuan dan Putrajaya.

Sehingga semalam, negara merekodkan 2,786,219 kumulatif kes positif dengan daripada jumlah itu 2,714,614 pesakit telah sembuh, dan 39,927 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu, seramai 32,743 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 3,520 ditempatkan di PKRC; 3,416 dimasukkan ke hospital; dan 248 pesakit dirawat di ICU, dengan 117 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

BERITA BERKAIT
POPULAR