23 kematian kes BID semalam

Seramai 67 pesakit Covid-19 meninggal dunia dalam tempoh 24 jam semalam, turun berbanding 78 kes pada Jumaat, lapor Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini.

Jumlah kematian semalam termasuk 23 kes pesakit meninggal dunia sebelum bantuan perubatan dapat diberikan atau ‘brought in death’ (BID). Bagaimanapun, tiada maklumat sama ada kes BID itu turut melibatkan kalangan individu yang menjalani kuarantin di rumah.

Jumlah baharu semalam menjadikan kumulatif kematian sejak awal 2020 lalu hingga semalam sebanyak 33,173 kes, termasuk 6,853 kes BID, menurut laman sesawang CovidNOW kendalian KKM yang dikemas kini awal pagi tadi.

Sejak seminggu lalu, 26.7 peratus kematian di Malaysia melibatkan pesakit berusia 80 tahun dan ke atas, diikuti 23.9 peratus (70-79 tahun); 19.2 peratus (60-69 tahun); 14.7 peratus (50-59 tahun); 8.3 peratus (40-49 tahun); 4.4 peratus (30-39 tahun); 2.2 peratus (18-29 tahun) dan masing-masing 0.3 peratus bagi kategori usia 5-11 tahun dan 0-4 tahun.

Tiga negeri merekodkan jumlah kematian melebihi 10 kes dengan tertinggi dicatat Selangor sebanyak 14 kes, diikuti Kedah (12 kes); dan Johor (10 kes).

Sehingga semalam jumlah kumulatif kematian di Selangor meningkat kepada 10,244 kes, termasuk 2,201 kes BID, manakala kumulatif positif turut meningkat kepada 988,698 kes.

Seramai 895,879 pesakit Covid-19 di negeri itu telah sembuh, manakala 82,575 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu seramai 80,517 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 468 ditempatkan di PKRC; 1,539 dimasukkan ke hospital; dan 51 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan 33 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Bagi negeri-negeri lain, Perak merekodkan lapan kematian; Sabah (tujuh); masing-masing empat kes di Melaka serta Perlis; masing-masing tiga di Kelantan serta Pahang; dan masing-masing satu di Negeri Sembilan serta Pulau Pinang.

Tiada kes kematian dilaporkan di Sarawak, Terengganu, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, semalam.

Pecahan kes berkaitan Covid-19 di setiap negeri sehingga 5 Mac 2022.

BERITA BERKAIT
POPULAR