23 kematian baharu akibat Covid-19, 35,247 pesakit kuarantin di rumah

Jumlah kematian akibat Covid-19 dalam tempoh 24 jam semalam turun daripada 35 kes yang dilaporkan pada Isnin kepada 23 kes semalam, termasuk empat pesakit meninggal dunia sebelum sempat menerima rawatan di hospital (BID).

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan jumlah terbaharu itu menjadikan kumulatif kematian sejak wabak Covid-19 melanda negara awal tahun lalu meningkat kepada 31,392 kes, termasuk 6,338 kes BID.

Daripada jumlah itu, Johor dan Terengganu berkongsi kes tertinggi iaitu sebanyak empat kematian.

Dengan jumlah terbaharu itu, Johor kini merekodkan 3,855 kes kematian, termasuk 491 kes BID. Negeri itu turut mencatat 243,696 kumulatif positif, termasuk 669 kes import, dengan 234,841 pesakit sembuh, dan 5,000 kes lagi masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu, 3,998 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 525 ditempatkan di PKRC; 460 dimasukkan ke hospital; dan 17 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 13 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sehingga semalam, daripada 1,149 kluster yang dikesan di Johor, 37 masih aktif, dengan 24 daripadanya adalah kluster berkaitan tempat kerja yang dilaporkan sejak 9 November hingga 26 Disember.

Bagi Terengganu, jumlah terbaharu itu menjadikan kumulatif kematian di negeri itu sebanyak 701 kes, termasuk 76 kes BID.

Sehingga semalam, Terengganu mencatat 82,109 kumulatif kes positif, dengan 78,862 pesakit sembuh, dan 2,546 kes lagi masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu, 1,975 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 335 ditempatkan di PKRC; 213 dimasukkan ke hospital; dan 23 dirawat di ICU, termasuk 15 daripada pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan.

Bagaimanapun, setakat ini tiada kluster aktif dilaporkan di negeri itu.

Bagi negeri-negeri lain, Perak merekodkan tiga kes kematian; diikuti masing-masing dua di Kelantan, Pahang, Selangor serta Kuala Lumpur; dan masing-masing satu di Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, serta Sabah.

Tiada kes kematian dilaporkan di Perlis, Pulau Pinang, Sarawak, Labuan dan Putrajaya, lapor KKM menerusi laman sesawangnya, Covidnow hari ini.

Sementara itu, KKM juga memaklumkan kes aktif turun lagi kepada 42,357 dengan 35,247 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 3,303 ditempatkan di PKRC; 3,505 dimasukkan ke hospital; dan 302 lagi pesakit dirawat di ICU, termasuk 169 daripadanya yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sehingga semalam, negara merekodkan 2,746,833 kumulatif kes positif dengan daripada jumlah itu seramai 2,673,084 pesakit telah sembuh.

KKM juga berkata 226 kluster lagi masih aktif, termasuk empat kluster baharu yang dikesan semalam yang melibatkan kumpulan berisiko tinggi, pendidikan, komuniti dan satu kluster import.

Kluster berkaitan kumpulan berisiko tinggi dikesan di Bandar Satelit Pasir Tumbuh, yang melibatkan Daerah Kota Bharu dan Machang, Kelantan membabitkan lima kes.

Kluster pendidikan pula dikesan di Jelebu, Negeri Sembilan melibatkan 27 kes, kluster komuniti di Sabak Bernam, Selangor (13 kes), dan kluster import di Temerloh dan Pekan, Pahang melibatkan enam kes.

BERITA BERKAIT
POPULAR